Anda di sini

Labur dalam bidang pembangunan sumber manusia, teknologi

Advertisement

KOTA KINABALU: Semua syarikat dalam negara disarankan untuk melabur dalam bidang teknologi serta pembangunan sumber manusia bagi menambah baik keupayaan dan produktiviti masing-masing.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Darell Leiking berkata, syarikat-syarikat berkenaan termasuklah penyedia perkhidmatan perlu bergerak selari dengan hala tuju negara ke arah Revolusi Industri 4.0.

"Industri 4.0 adalah hala tuju terkini negara ini dan kita perlu bergerak pantas bagi memastikan negara berada dalam landasan betul untuk mencapai aspirasi ini.

LOKMAN (tiga kiri) diberi penjelasan ketika melawat gerai SiTS 2019.
LOKMAN (tiga kiri) diberi penjelasan ketika melawat gerai SiTS 2019.

"MITI dan semua agensi di bawahnya akan sentiasa bersedia untuk membantu. Kami akan meningkat usaha dengan bekerja lebih rapat bersama pihak berkuasa negeri serta pemegang taruh yang berkaitan bagi memudahkan pembangunan perniagaan," katanya ketika melancarkan Pameran Perdagangan Antarabangsa Sabah (SiTS) 2019, di sini pada Jumaat.

Teks ucapannya disampaikan oleh Ketua Setiausaha MITI Datuk Lokman Hakim Ali.

Darell berkata, bagi melancarkan lagi pengamalan Industri 4.0, kerjasama perlu diperkasakan pada setiap masa.

Katanya, semua pihak perlu sentiasa memikirkan cara baharu untuk menjalinkan kerjasama erat yang boleh memberikan manfaat secara bersama.

"Sabah khususnya mempunyai potensi yang sangat besar dalam pelbagai sektor untuk dimajukan. Antara sektor itu ialah perikanan, pertanian, pengeluaran gas ammonia dan urea, teknologi hijau serta banyak lagi.

"Kekayaan sumber asli yang terdapat di Sabah turut membolehkan negeri ini mempelbagaikan industri bagi bergerak ke arah perindustrian yang lebih mapan," katanya.

Bagaimanapun katanya, kerajaan harus mengkaji semula kewujudan taman perindustrian yang sedia ada di sini agar diperkasakan menjadi kawasan perindustrian terpenting di masa hadapan.

Katanya, pendekatan itu juga mampu menarik pelabur yang lebih besar di masa hadapan.

Sabah harus mempelajari usaha yang dilakukan oleh Pulau Pinang, Johor dan Selangor dalam mencari pelaburan berskala mega ke negeri ini.

  • oleh
  • Advertisement