Anda di sini

KPLB Sabah laksana Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK

Advertisement
EWON (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil MPKK yang menyertai kursus itu, turut kelihatan Fredian (empat dari kiri), Diyanah (kiri), Majaran (dua dari kanan) dan Saikom (kanan).
EWON (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada wakil MPKK yang menyertai kursus itu, turut kelihatan Fredian (empat dari kiri), Diyanah (kiri), Majaran (dua dari kanan) dan Saikom (kanan).

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah melaksanakan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bermula Jun ini, merangkumi kesemua daerah dan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Sabah.

Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata, kursus itu merupakan antara pengisian utama bagi memperkasakan kepimpinan dan urus tadbir MPKK di seluruh Sabah.

"Sebagai permulaan, kursus pertama pada penggal ini diadakan bagi kawasan DUN Kadamaian dan akan disusuli oleh daerah Keningau dan Lahad Datu.

Pelaksanaannya telahpun dijadualkan merangkumi semua daerah dan kawasan DUN yang mempunyai MPKK.

“Saya berharap kursus ini telah memberikan manfaat kepada pimpinan MPKK. Selepas selesainya kursus ini, pimpinan MPKK boleh mengemas kini profail kampung masing-masing supaya dapat dimasukkan dalam Sistem Digital Profail Kampung kelak.

"Seterusnya, menguruskan permohonan Geran Pembangunan MPKK sebanyak RM10,000 yang disediakan oleh KPLB Persekutuan. Saya berharap kita akan terus terkehadapan dalam hal-hal pembangunan melibatkan MPKK," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran MPKK Kawasan DUN Kadamaian, di sini pada Khamis.

Ewon yang juga Adun Kadamaian turut menggesa supaya MPKK memberikan kerjasama terbaik kepada Pegawai Daerah Kota Belud Diyanah Abdullah dalam menguruskan pelaksanaan pembangunan di daerah itu.

"Beliau merupakan satu-satunya pegawai daerah wanita di Sabah buat masa ini dan saya mempunyai keyakinan tinggi beliau boleh membantu menguruskan Kota Belud.

"Saya berharap kesemua MPKK dapat memberikan kerjasama kepada beliau dan juga kepada ketua jabatan lain di Kota Belud bagi sama-sama berusaha dan bekerjasama menguruskan masalah-masalah yang dibangkitkan oleh rakyat.

"Sebagai inisiatif saya selaku Adun, saya juga meminta Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah melaksanakan Kajian Pelan Pembangunan Kadamaian 2020-2035 yang sedang berjalan dan saya dimaklumkan mereka akan mengadakan kunjungan ke Pejabat Daerah Kota Belud pada minggu pertama Julai untuk mendapatkan data-data berkaitan daripada pelbagai jabatan dan agensi,” katanya.

Ewon berkata, beliau akan terus berusaha sebaik mungkin menguruskan pembangunan Kadamaian dengan lebih sistematik sepertimana “kita mahu membangunkan kawasan luar bandar di seluruh Sabah”.

Kursus itu melibatkan taklimat dan ceramah daripada pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk Pejabat Daerah Kota Belud, Jabatan Tanah dan Ukur, Unit Perancang Ekonomi Negeri, Suruhanjaya Koperasi Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kebajikan, Jabatan Kesihatan dan Polis Diraja Malaysia.

Kursus itu bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab badan MPKK, pentadbiran daerah, pengendalian mesyuarat dan kefahaman mengenai isu-isu keselamatan dan kesejahteraan kampung.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap KPLB Fredian Gan, Pegawai Daerah Kota Belud Diyanah Abdullah, Setiausaha Rendah (Bahagian Dasar) KPLB Sabah Majaran Osman dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat Kadamaian Saikom Watis.

Advertisement