Anda di sini

Kajian semula kokurikulum lebih penting, kata Yusof

Advertisement
DR YUSOF
DR YUSOF

KOTA KINABALU: Tidak perlu menjalankan kajian untuk Pendidikan Islam di sekolah rendah kerana aktiviti kokurikulum itu lebih penting untuk dikaji semula.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, kajian sedemikian mungkin tidak akan menyelesaikan masalah.

Namun, katanya, kegiatan kokurikulum perlu diberi perhatian untuk memberi pengetahuan tambahan dalam pembelajaran murid sekolah rendah.

"Kita perlu kaji semula apa aktiviti kokurikulum yang sepatutnya dilaksanakan di sekolah termasuklah sekolah-sekolah agama.

"Saya lebih bimbang jika mereka (murid) tidak didedahkan dengan aspek tambahan lain seperti sosial, moral dan hubungan dengan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Anugerah Cemerlang dan Sambutan Hari Guru, Hari Raya dan Hari Kaamatan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Kinabalu, di sini pada Khamis.

Mengulas mengenai kenyataan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching berhubung penubuhan Pasukan Petugas Khas untuk mengkaji Pendidikan Islam di sekolah rendah, Yusof berkata mungkin Teo mempunyai tujuan yang baik.

"Saya tidak boleh komen secara spesifik mengenai apa yang beliau (Teo) katakan.

"Saya berpendapat tidak sepatutnya Pendidikan Islam itu dikaji, tetapi kokurikulum itu lebih memerlukan kajian semula," jelasnya.

Dalam pada itu, pihaknya turut mengambil berat isu pelajar Tingkatan 1 yang masih tidak pandai membaca.

Menurutnya, walaupun jumlahnya tidak ramai, tetapi ia sudah cukup untuk diberi perhatian dan ia tidak sepatutnya berlaku di negeri ini.

  • oleh
  • Advertisement