Anda di sini

Jabatan Perangkaan disaran terus berikan statistik tepat

Advertisement
SARIFUDDIN merasmikan majlis sesi interaktif bersama responden WRC 2019.
SARIFUDDIN merasmikan majlis sesi interaktif bersama responden WRC 2019.

TAWAU: Jabatan Perangkaan Malaysia disaran untuk terus mengkaji dan mengeluarkan petunjuk yang lebih inklusif dalam memantau kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Sarifuddin Hata berkata statistik rasmi yang disusun dan dibuat oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menjadi tunjang kepada pembangunan dan pengukuhan kedudukan sosioekonomi negara serta kesejahteraan rakyat.

"Statistik terkini dan relevan amat diperlukan sebagai asas perancangan yang tepat kepada kerajaan mahupun komuniti terutamanya dalam dunia digital pada masa kini.

"Kejayaan sesebuah kerajaan adalah apabila berjaya melaksanakan pembangunan bertunjungkan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dan akan terlaksana sekiranya dipandu oleh statistik yang tepat dan terkini," katanya ketika merasmikan sesi interaktif bersama responden WRC 2019, di sini pada khamis.

Sarifuddin berkata, perancangan dan pengurusan negara secara tuntas adalah untuk 32.4 juta penduduk di Malaysia dan 3.9 juta daripadanya merupakan penduduk di Sabah pada masa kini.

Menurutnya, ekonomi Sabah pada tahun 2017 amat memberangsangkan dengan mencatatkan pertumbuhan 8.2 peratus berbanding 4.7 peratus pada tahun sebelumnya.

"Ini merupakan kesan langsung daripada beberapa inisiatif kerajaan dalam memastikan ekonomi Sabah terus berkembang dengan pesat," katanya.

Beliau berkata, proses membuat keputusan dalam pentadbiran negara memerlukan data, maklumat, pengetahuan dan kebijaksanaan.

"Statistik sosiodemagrafi, ekonomi dan alam sekitar mempunyai kepetingan masing-masing dan amat membantu dalam memastikan kesejahteraan masyarakat serta kestabilan ekonomi negara," katanya.

Sarifuddin menyeru komuniti di negeri ini bersama-sama mengembleng usaha, berpadu tenaga serta menjadi pemangkin penyediaan fakta yang tepat, berkualiti dan komprehensif.

"Hal ini diharap dapat menganjak ekonomi dan mensejahterakan rakyat dengan terus menyokong dan memberi kerjasama kepada Jabatan Perangkaan Malaysia," katanya.

Sementara itu, Pengarah Perangkaan Malaysia Negeri Sabah Hjh Norhayati Jantan berkata, majlis itu dilaksanakan bagi memberikan penjelasan berkenaan kepentingan 'Wholesale & Retail Census' (WRS) 2019 yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

"Hari ini merupakan siri ketiga peringkat negeri Sabah setelah diadakan di Kota kinabalu dan di peringkat persatuan yang diadakan di pejabat Kota Kinabalu," katanya.

Beliau menjelaskan, objektifnya untuk mendapatkan struktur dan profil aktiviti perdagangan borong serta runcit yang terkini di samping menyediakan profil berkenaan perusahaan kecil dan sederhana.

"Statistik yang dikeluarkan ini akan digunakan di peringkat tempatan dan juga antarabangsa oleh para pengguna lain seperti agensi kerajaan, penyelidik, akademik, pertubuhan perniagaan, agensi statistik dalam dan luar negara," katanya.

Menurutnya, jabatan itu turut melaksanakan beberapa projek yang berimpak tinggi pada tahun ini iaitu survei pendapatan dan perbelanjaan serta persediaan banci penduduk dan perumahan Malaysia 2020.

SARIFUDDIN merakamkan kenangan bersama kakitangan Jabatan Perangkaan Malaysia Tawau.
SARIFUDDIN merakamkan kenangan bersama kakitangan Jabatan Perangkaan Malaysia Tawau.

"Pelbagai program dilaksanakan dalam usaha untuk meningkatkan respon dan literasi statistik di peringkat negeri Sabah yang merangkumi segenap lapisan masyarakat," katanya.

Beliau berharap majlis itu menjadi platform penggemblengan tenaga dan sokongan di antara semua dalam bertukar-tukar pandangan serta pengalaman bagi memastikan kejayaan membekalkan data berkualiti kepada negara.

  • oleh
  • Advertisement