Anda di sini

Bekas pekerja kilang kena 13 tahun, didapati bersalah seksual terhadap kanak-kanak 12 tahun

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, mengenakan penjara 13 tahun terhadap seorang lelaki tempatan atas kesalahan melakukan kesalahan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu ke atas Matjan Yusof, 38, selepas perbicaraan penuh dijalankan dan didapati bersalah mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Dalam penghakiman itu, beliau berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Matjan melakukan kesalahan itu pada 11 Ogos 2018 jam 3 pagi di sebuah rumah tidak bernombor, Kampung Pelalai Membakut, Beaufort.

Tertuduh menyentuh payudara mangsa yang berusia 12 tahun dengan menggunakan tangan dan menggeselkan kemaluannya pada kemaluan mangsa.

Sabit salah atas kesalahan itu boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Semasa rayuan peguam Adelia Adnan menyatakan Matjan seorang pesalah pertama dan menjadi sumber ekonomi bagi keluarganya.

Namun ekoran daripada kes terbabit, tertuduh kehilangan pekerjaannya sebagai pekerja kilang.

Menurutnya tempoh pemenjaraan yang lama memberi kesan kepada keluarga tertuduh yang bergantung kepadanya.

Katanya tertuduh mempunyai lima anak dan salah seorang kelainan upaya (OKU), sementara isterinya hanya bekerja sebagai pekerja am.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwaraya Nureen Natasha Mohd Raffie menjelaskan bahawa ibu mangsa teman wanita kepada tertuduh.

Beliau meminta mahkamah mempertimbangkan hubungan terbabit dan menyatakan tertuduh seharusnya melindungi mangsa.

Oleh itu, pihaknya meminta hukuman yang berat dikenakan terhadap Matjan.

Azreena memerintahkan pemenjaraan dikira dari tarikh sabitan, bagaimanapun membenarkan tertuduh menangguhkan menjalani hukuman dengan mengenakan syarat ikat jamin yang sama sementara menunggu keputusan rayuan di Mahkamah Tinggi.

  • oleh
  • Advertisement