Anda di sini

Pelajar IPTA didakwa rogol gadis bawah umur

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) yang sedang menjalani latihan, didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas tuduhan merogol seorang gadis bawah umur.

Mohammad Hafiz Jeral, 23, yang tidak diwakili peguam bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Elsie Primus.

Tertuduh didakwa merogol mangsa yang berusia 12 tahun tujuh bulan pada 10 Jun jam 10 malam di sebuah bilik, University Condominium Apartment ( UCA), Jalan Sulaman, Manggatal.

Sabit salah mengikut Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan, boleh dikenakan penjara selama 20 tahun dan sebat.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip tidak mencadangkan jaminan diberikan kerana kesalahan berkenaan tidak boleh diberikan ikat jamin.

Namun Mohammad Hafiz merayu supaya diberikan jaminan dan memberitahu dirinya seorang pelajar di salah sebuah IPTA di Bintulu, Sarawak.

Tertuduh juga mengemukakan kad pelajarnya kepada mahkamah sebagai bukti.

Elsie menetapkan pengurusan kes pada 25 Julai terhadap tertuduh yang diberikan ikat jamin sebanyak RM10,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan.

Selain itu, mahkamah memerintahkan tertuduh melaporkan diri setiap minggu di balai polis terdekat dan dilarang mengganggu saksi pihak pendakwaan.

  • oleh
  • Advertisement