Anda di sini

Nilai dagangan sektor agrikomoditi RM52.7 bilion bagi Januari-April 2019

Advertisement
 Kok (kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada warga Kementerian Industri Utama pada Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri semalam. — Gambar Bernama
MESRA: Kok (kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada warga Kementerian Industri Utama pada Majlis Ramah Mesra dan Sambutan Hari Raya Aidilfitri semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sektor agrikomoditi mencatatkan nilai dagangan berjumlah RM52.7 bilion bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, kata Menteri Industri Utama Teresa Kok.

Imbangan dagangan bagi sektor agrikomoditi pula merekodkan RM27.7 bilion bagi tempoh empat bulan pertama itu, katanya.

Pendapatan eksport produk komoditi bagi tempoh tersebut adalah RM40.2 bilion, menyusut 7.5 peratus berbanding RM43.5 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lepas, katanya ketika berucap pada sambutan Aidilfitri Kementerian Industri Utama di sini, semalam.

“Penurunan nilai eksport produk agrikomoditi ini disebabkan faktor kejatuhan eksport produk utama seperti minyak sawit, oleokimia berasaskan sawit dan getah asli. Walaupun nilai eksport mengalami penurunan, kuantiti eksport produk-produk sawit telah meningkat sebanyak 4.6 peratus kepada 8.9 juta tan,” katanya.

Menurutnya, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Dewan Perdagangan Bahan Makanan dan Produk Asli China (CFNA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pada April lepas bagi pembelian minyak sawit tambahan sebanyak 1.9 juta tan selama lima tahun bermula tahun ini, bernilai kira-kira RM4.56 bilion.

Kok dalam pada itu berkata Kementerian Industri Utama telah mencapai prestasi 45.83 peratus bagi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) berbanding 41.7 peratus yang ditetapkan sehingga bulan lepas. — Bernama

Advertisement