Anda di sini

eKelas Maxis diperkaya dengan satu siri video asli

Advertisement
 Timbalan Pengarah Teknologi Pembelajaran, Pusat Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran UKM Dr Muhammad Helmi Norman menunjukkan alat yang akan digunakan untuk penciptaan kandungan.
DIPERKAYA: Timbalan Pengarah Teknologi Pembelajaran, Pusat Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran UKM Dr Muhammad Helmi Norman menunjukkan alat yang akan digunakan untuk penciptaan kandungan.

KUCHING: Pelajar-pelajar eKelas Maxis boleh mengharapkan kandungan baharu yang menarik sementara portal pembelajaran digital tersebut diperkayakan dengan satu siri video asli untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Maxis memulakan projek untuk menghasilkan kandungan video ini bersama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan telah menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan mereka pada 17 Jun lalu.

Mewakili UKM ialah Naib Canselor Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abdul Shukor dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat Prof Datuk Dr Imran Ho Abdullah, manakala pasukan Maxis diketuai Pengerusi Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, Ketua Pegawai Eksekutif Gokhan Ogut, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Paul McManus dan Ketua Pegawai Hal Ehwal Korporat Mariam Bevi Batcha.

Melalui perjanjian tersebut, Maxis dan UKM akan mencipta kandungan video pembelajaran digital untuk mata pelajaran Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris untuk eKelas selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia.

Tiga bengkel yang mempunyai 20 hingga 30 peserta setiap sesi akan dijalankan dengan sasaran untuk menghasilkan sehingga 10 video setiap bengkel.

Antara fakulti-fakulti yang mengambil bahagian dari pihak UKM ialah Fakulti Pendidikan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Fakulti Sains & Teknologi dan Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI).

Mohd Hamdi berkata, UKM adalah antara universiti yang terkemuka di Malaysia dan di rantau ini, dengan hala tuju strategik untuk menjadi pemimpin serantau dalam kecemerlangan akademik dan penyelidikan.

“Perkongsian kami dengan Maxis untuk mencipta kandungan adalah inisiatif penting ke arah ini, dan sejajar dengan peningkatan keupayaan akademik dan penyelidikan kami. Kami gembira dapat bekerjasama dengan Maxis dan berharap dapat mencapai hasil yang diinginkan daripada projek ini,” katanya dalam kenyataan media semalam.

Sementara itu Arshad berkata, pihaknya berbangga kerana dapat membawa kepakaran mereka dalam teknologi dan digitalisasi bagi membuka potensi dan kemungkinan daripada Internet untuk perkembangan kemahiran dan kandungan pembelajaran.

“Kami percaya kemahiran ini bukan hanya untuk para pelajar tetapi juga penting bagi pendidik dan bakal pendidik dalam era teknologi yang semakin berkembang maju ini.

“Sementara kami terus membawa kandungan digital yang terbaik dan baharu kepada jumlah pelajar eKelas yang semakin meningkat di seluruh Malaysia, kami gembira dapat bekerjasama dengan UKM untuk membantu pelajar universiti yang berminat menghasilkan kandungan yang lebih berkualiti untuk pelajar eKelas.

“Melalui kemampuan kami, kami juga berharap dapat bekerja dengan institusi pendidikan lain untuk inisiatif yang serupa,” katanya.

Semasa fasa percubaan yang berlangsung selama dua bulan, Maxis bekerjasama dengan Fakulti Pendidikan UKM pada tahun lalu untuk bengkel penciptaan kandungan yang telah menghasilkan bank video untuk mata pelajaran Matematik dan Bahasa Inggeris yang dicipta oleh pelajar-pelajar fakulti.

Bekerjasama dengan Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran UKM bersama-sama dengan 20 pelajar daripada fakulti itu, projek tersebut termasuk sesi kumpulan fokus dengan pelajar eKelas diadakan di Pusat Internet Semenyih.

Ia juga disusuli dengan dua bengkel di UKM yang menampilkan penceramah pakar dan sebuah studio rakaman di Hab Inovasi Pembelajaran Fakulti Pendidikan UKM untuk merekodkan pelajar-pelajar pencipta yang mengambil bahagian.

Melalui bengkel tersebut, mereka menghasilkan dua senarai video yang mengajar pelajar untuk menyelesaikan persamaan Algebra (Algebra bersama Cikgu-Cikgu UKM) dan belajar bahasa Inggeris semasa dalam suasana percutian sekolah (Learn English While on Holiday with UKM Teachers).

eKelas adalah program komuniti utama Maxis yang bertujuan untuk mencungkil potensi serta meningkatkan prestasi akademik pelajar-pelajar di komuniti luar bandar.

Ia adalah inisiatif pembelajaran digital selepas sekolah untuk pelajar tahun enam hingga tingkatan lima yang membawa pengayaan pembelajaran yang menyeronokkan dan memberi akses kepada kandungan pendidikan berkualiti, selaras dengan Sukatan Pelajaran Malaysia.

Untuk maklumat lanjut tentang eKelas Maxis, sila layari www.maxis.com.my/maxis-ekelas

Advertisement