Anda di sini

Dua beradik didakwa rompak berkumpulan bersenjata

Advertisement

KOTA KINABALU: Dua adik-beradik didakwa melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan senjata, di sebuah kedai runcit di daerah Tuaran.

Majdi Muji, 27, Mazlan Muji, 19, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Noor Hafizah Mohd Salim, selepas pertuduhan itu dibacakan kepada mereka.

Kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Faezah Abby Ibnu didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Jika didapati bersalah boleh dikenakan penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Majdi dan Mazlan merampas telefon pintar milik remaja lelaki berusia 13 tahun dan mencederakan abang mangsa berusia 22 tahun dengan menggunakan parang.

Kesalahan dilakukan pada 8 Jun di sebuah kedai runcit, Taman Sinar Jaya.

Timbalan Pendakwaraya Megat Mahathir Megat Tharin Afendi menawarkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan untuk setiap tertuduh.

Beliau juga meminta dikenakan syarat kedua-dua tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.

Faezah meminta jumlah terbabit dikurangkan dan menyatakan keluarga kedua-dua tertuduh bergantung sepenuhnya kepada mereka.

Menurutnya Majdi yang bekerja di ladang ayam sudah berkahwin dan mempunyai dua anak, sementara isterinya bekerja di ladang ikan.

Tambahnya Mazlan bekerja sebagai pemandu kepada seorang bergelar datuk selama empat tahun.

Sementara menunggu kes selesai, mahkamah memberikan ikat jamin sebanyak RM10,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan untuk setiap tertuduh.

Mereka juga dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan diperintahkan melaporkan diri di balai polis terdekat dua kali dalam sebulan.

Tarikh pengurusan kes ditetapkan pada 3 Julai dan perbicaraan pada 14 hingga 16 Oktober.

  • oleh
  • Advertisement