Anda di sini

Bukan tugas saya untuk memastikan fakta diterbitkan benar atau tidak, kata Vernon

Advertisement
 Vernon (kiri) ketika hendak keluar dari Mahkamah Kuching.
YAKIN: Vernon (kiri) ketika hendak keluar dari Mahkamah Kuching.

KUCHING: Bekas Ketua Penerangan PKR Sarawak Vernon Kedit berkata, tugas untuk menentukan kebenaran dan kesahihan sesuatu berita yang hendak diterbitkan adalah tanggungjawab penyunting sesebuah organisasi media.

Menurutnya, tanggungjawab tersebut juga bukan terletak pada beliau malah juga bukan tugas pembaca.

“Setiap kali kita membeli suratkhabar atau menonton televisyen untuk mendapatkan berita, adakah kita sebagai pembaca atau penonton seharusnya meragui berita yang disampaikan dan seterusnya menyemak ketepatan mahupun kesahihan berita tersebut,” katanya apabila disoal mengenai kesahihan berita terbitan portal Dayak Daily pada Julai tahun lepas mengenai artikel hak ‘usufructuary’ yang membawa maksud boleh milik dan boleh pakai.

Vernon memberitahu demikian kepada Mahkamah Tinggi di sini semalam ketika ditanya peguam Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Uggah memfailkan saman fitnah terhadap Vernon berhubung penyataannya tahun lepas dalam Kumpulan WhatsApp PKR State Media kerana memanggilnya ‘penipu’ dan ‘pengkhianat’ pada 12 Julai 2018.

Semalam merupakan hari kedua kes tersebut dibicarakan selepas ia disambung semula ekoran ia ditangguhkan oleh Hakim Ravinthran N. Paramaguru pada 10 dan 11 April yang lalu.

 Uggah bersama Jabu di lobi Mahkamah Tinggi Kuching.
SOKONGAN: Uggah bersama Jabu di lobi Mahkamah Tinggi Kuching.

Pemeriksaan balas turut menyentuh mengenai istilah ‘tauk ngenak, tauk ngempu’ di mana Vernon menganggap istilah berkenaan bermaksud boleh milik dan boleh pakai.

Katanya lagi, mungkin istilah berkenaan tidak membawa maksud boleh milik dan boleh pakai jika diterjemah dari Bahasa Inggeris, akan tetapi, dalam Bahasa Iban ia membawa maksud berkenaan.

Vernon yang juga Ketua PKR Cabang Betong memberitahu mahkamah bahawa melalui jawatan yang dipegangnya terdahulu, dia boleh mengeluarkan kenyataan yang dianggapnya betul tanpa merujuk kepada orang lain.

“Sebagai Ketua Penerangan, saya bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan yang saya fikirkan benar tanpa merujuk kepada orang lain.

“Malah salah satu tugas saya adalah untuk menyampaikan maklumat,” ujarnya.

Katanya beliau berjuang demi mempertahankan hak rakyat Sarawak tetapi telah menjadi mangsa keadaan dalam kes ini.

“Kenyataan yang saya keluarkan terdahulu adalah benar dan saya percaya kebenaran memihak kepada saya,” tambahnya lagi.

Kata Vernon lagi, pernyataan yang dikeluarkannya pada tahun lepas itu merupakan tindak balas kepada artikel berita dalam portal Dayak Daily.

Vernon turut memaklumkan bahawa Kumpulan WhatsApp PKR Sarawak State Media merupakan kaedah untuk menyampaikan maklumat disamping berhubung dengan penduduk pribumi Sarawak.

 Turut hadir di Mahkamah Tinggi semalam untuk memberikan sokongan moral kepada Uggah adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Goram Jefferson Jamit, bekas Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu serta setiausaha politik dan lain-lain.

Advertisement