Anda di sini

Bekas pekerja bank kena bon berkelakuan baik

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang bekas pekerja bank dikenakan bon berkelakuan baik dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan pecah amanah melibatkan wang pelanggan sebanyak RM68,000.

Hakim Elsie Primus membuat keputusan itu terhadap Rafidah Ramli Sabin, 30, dengan mengenakan deposit RM5,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan.

Tertuduh mengaku salah atas pertuduhan pindaan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang boleh dikenakan penjara enam bulan hingga lima tahun dan sebat, atau denda.

Kesalahan itu melibatkan urusan pengeluaran sejumlah wang milik seorang pelanggan, pada 15 Disember 2016 hingga 28 Ogos 2017 di cawangan Heong Leong Bank, Jalan Haji Saman di sini.

Berdasarkan fakta kes, pada 6 Oktober 2017, pengurus cawangan menerima makluman daripada kakitangannya bahawa seorang pelanggan membuat aduan wang didalam akaun miliknya berkurang RM68,000.

Pelanggan terbabit memberitahu wang berkenaan berkurang sejak Disember 2016 hingga Ogos 2019 dan tidak pernah melakukan pengeluaran di kaunter.

Pengurus cawangan membuat siasatan dan mendapati tertuduh mengeluarkan wang itu dengan cara meniru tandatangan pelanggan berkenaan.

Sebanyak lima transaksi pengeluaran dibuat pada 15 Disember 2016 sebanyak RM10,000, 20 Disember 2016 (RM3,000), 23 Februari 2017 (RM10,000), 20 April 2017 (RM10,000), 20 Julai 2017 (RM15,000) dan 28 Ogos 2017 (RM20,000).

Semasa rayuan peguam Kimberly Ye berkata tertuduh seorang pesalah pertama dan sudah menyesal, pengakuan salahnya juga menjimatkan masa mahkamah.

Menurutnya tertuduh mempunyai seorang anak perempuam berusia dua tahun dan masih menyusu badan.

Beliau menjelaskan tertuduh sudah membayar sejumlah wang terbabit kepada pihak bank dan memohon budi bicara mahkamah anak guamnya diberikan bon berkelakuan baik.

Rafidah didakwa 10 Julai tahun lalu mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan dan mengaku tidak bersalah, dirinya dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM5,000 dicagarkan dua penjamin tempatan.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip bertindak untuk pihak pendakwaan.

  • oleh
  • Advertisement