Anda di sini

Usaha bangunkan Sabah tanggungjawab bersama

Advertisement

KOTA KINABALU: Usaha membangunkan ekonomi serta pembangunan Sabah adalah tanggungjawab bersama yang perlu dipikul semua pihak.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, sekiranya tanggungjawab itu tidak dipikul bersama-sama ianya boleh menjadi masalah kepada kerajaan.

"Dalam pertumbuhan ekonomi ini, bukan hanya kekayaan perlu dikongsi bersama, tetapi juga tanggungjawab ini penting untuk dikongsikan bersama.

"Kita dapati di sesetengah kawasan atau masyarakat, mereka agak jauh ketinggalan dari segi menikmati kemudahan asas.

SHAFIE (dua kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada seorang peserta forum sambil diperhatikan Simon (kanan) dan Michael (kiri).
SHAFIE (dua kiri) menyampaikan cendera kenangan kepada seorang peserta forum sambil diperhatikan Simon (kanan) dan Michael (kiri).

"Tetapi sesetengah tempat melebihi kemudahan asas, maka pembangunan seimbang diperlukan bagi memastikan mereka yang tinggal di kawasan luar bandar turut menikmati kemudahan itu," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan 'Forum On The New Sabah, New Challenges, New Realities, New Opportunities', di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pembangunan yang dilaksanakan perlu bersifat mampan agar semua masyarakat dapat menyertai dasar dan polisi berkenaan.

Katanya, sekurang-kurangnya masyarakat setempat dapat merasai pembangunan yang dicapai itu.

"Kita sedar untuk mencapai perkara ini tidak mudah kerana berhadapan cabaran dari dalam dan luar... kekangan daripada perang dagang di antara China dan Amerika Syarikat turut memberikan kesan kepada kita," katanya.

Shafie berkata, tumpuan kepada sektor pelancongan dan gas dalam negeri ini perlu ditingkatkan. Kerajaan akan memanfaatkan sumber seumpamanya bagi memperkasakan ekonomi negeri.

"Saya berharap forum yang diadakan ini dapat melahirkan banyak pandangan. Kerajaan sentiasa terbuka dan kita akan pastikan setiap dasar yang dilaksanakan bukan sahaja baik tetapi dari segi pelaksanaannya akan ditingkatkan.

"Dasar itu juga perlu difahami dan disertai oleh keseluruhan rakyat kita termasuklah pihak swasta dan kerajaan," katanya.

Katanya, kerajaan akan pastikan maklum balas daripada peserta forum dijadikan landasan pembangunan yang berpanjangan dan mampan.

Hadir sama ialah Pengerusi Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) Tan Sri Simon Sipaun dan Presiden Kingsley Strategic Institute Tan Sri Michael Yeoh.

  • oleh
  • Advertisement