Anda di sini

Rompak kedai serbaneka 24 jam, pesalah muda kena 10 tahun

Advertisement

KUCHING: Seorang pesalah muda berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dengan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam atas kesalahan melakukan rompakan bersenjata di kedai serbaneka 24 jam.

Setelah meneliti laporan sosial, Hakim Dayang Ellyn Narisa Abang Ahmad mengarahkan Dinra Udin menjalani hukuman penjara itu bermula semalam.

Dinra bersama dua lagi yang masih bebas, merompak kedai serbaneka 24 jam di Jalan Pending pada 4 Mei lalu, jam 2.30 pagi dengan bersenjatakan parang.

Mereka dikatakan merompak pekerja kedai berkenaan, Mckhinon Mohan, 19.

Mahkamah menjatuhkan hukuman sedemikian setelah meneliti fakta dan kekerapan kes serta mengambil kira trauma yang dihadapi mangsa.

Untuk kesalahan itu, dia disabitkan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu di mahkamah berasingan, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara lapan tahun dengan 10 sebatan atas kesalahan memiliki 61.07 gram ganja yang dilakukannya pada 8 Jun 2016.

Mohd Rahim Othman, 28, mengaku bersalah di hadapan Hakim Jason Juga selesai pertuduhan dibacakan Timbalan Pendakwa Raya Ruthra Raj.

Menurut fakta kes, Rahim melakukan kesalahan berkenaan semasa berada di Kampung Gersik, Petra Jaya, jam 6 petang.

Rahim bersama rakannya berada dalam bilik mereka semasa polis menemui dadah yang diletakkan dalam bungkusan.

Dia kemudiannya didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dipenjara seumur hidup atau tidak kurang daripada lima tahun dan boleh disebat tidak kurang daripada 10 sebatan.

Advertisement