Anda di sini

Rewcastle-Brown diberi masa sehingga 25 Jun untuk jawab afidavit Sultanah Nur Zahirah

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menetapkan sehingga 25 Jun untuk pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan dua lagi membalas afidavit balasan terhadap permohonan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah supaya kes saman yang difailkan itu diputuskan melalui penghakiman terus iaitu tanpa perbicaraan.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Vishnu Kumar yang mewakili Sultanah Nur Zahirah kepada pemberita selepas pengurusan kes itu di kamar Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim.

“Pada tarikh itu mahkamah akan mendengar afidavit balasan daripada Rewcastle-Brown selaku defendan sekiranya ada. Berikutan itu, mahkamah menetapkan 25 Jun ini untuk pengurusan kes selanjutnya,” katanya yang turut menyebut  bagi pihak defendan.

Pada 27 Mei lepas,  Sultanah Nur Zahirah memohon supaya Mahkamah Tinggi memutuskan kes saman fitnah yang dikemukakan pihaknya terhadap Rewcastle-Brown dan dua yang lain ditentukan melalui penghakiman terus  mengikut peruntukan Aturan 14A Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.

Saman itu berhubung petikan dalam buku ‘The Sarawak Report: The Inside Story of The 1MDB Expose’ yang mengaitkannya dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low.

Pada 21 Nov tahun lepas, Sultanah Nur Zahirah selaku plaintif memfailkan saman terhadap Rewcastle-Brown, penerbit Gerakbudaya Enterprise, Chong Ton Sin dan pencetak buku tersebut, Vinlin Press Sdn Bhd masing-masing sebagai defendan pertama hingga ketiga. — Bernama

Advertisement