Anda di sini

Nafi fakta kes, pengakuan pelajar kolej ragut beg tangan ditolak

Advertisement

KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen di sini, menolak pengakuan salah seorang pelajar kolej yang didakwa meragut beg tangan milik seorang wanita warga asing.

Hakim Noor Hafizah Mohd Salim menetapkan pengurusan kes pada 4 Julai terhadap Suparman Usman, 23, setelah menafikan fakta kes yang dibacakan kepadanya untuk kali kedua.

Tertuduh menyatakan tiada menarik beg milik mangsa seperti yang dinyatakan dalam fakta kes, tetapi mengambil beg tangan yang sedia dalam keadaan terbuka.

Suparman meragut beg tangan milik mangsa yang mengandungi pasport dan dompet, pada 7 Jun jam 9 malam di belakang perhentian bas berhampiran perpustakaan lama di sini.

Jika didapati bersalah mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan, boleh dikenakan penjara selama tempoh 14 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, semasa pengadu dan rakannya berjalan kaki kembali ke hotel, setelah tiba di perhentian bas mereka didatangi tertuduh.

Tertuduh yang berjalan dari arah belakang terus meragut beg pengadu, pengadu cuba melawan dengan menarik kembali begnya tetapi gagal.

Beliau kemudiannya menjerit meminta pertolongan, orang awam yang mendengar segera bertindak mengejar dan menangkap tertuduh.

Tertuduh berjaya ditangkap dan seterusnya diserahkan kepada polis, semasa siasatan tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu kerana tidak mempunyai wang.

Bagaimanapun, sementara menunggu kes selesai tiada jaminan diberikan kepada Suparman yang diarahkan direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.

Timbalan Pendakwaraya Nur Faezah Jafry bertindak untuk pendakwaan.

  • oleh
  • Advertisement