Anda di sini

Hina Nabi: tahap mental Alister disahkan sihat

Advertisement
 Alister diiringi pegawai penjara di pekarangan Mahkamah Kuching semalam.
MENTAL SIHAT: Alister diiringi pegawai penjara di pekarangan Mahkamah Kuching semalam.

KUCHING: Mahkamah Tinggi Kuching di sini semalam mendapati tahap kesihatan mental Alister Cogia, 22, adalah normal sekali gus disahkan tidak menghadapi sebarang masalah mental.

Menurut laporan Hospital Sentosa Kuching, keadaan mental Alister didapati stabil sepanjang berada di wad selama tiga bulan.

Alister setakat ini hanya disahkan menghadapi subklinikal tiroid.

Dia didapati sedar dengan keadaan persekitaran, tidak menghadapi masalah psikosis serta tidak mendesak.  

Alister turut dilaporkan mempunyai daya kognitif memuaskan dan mampu memberikan respons dengan baik tanpa sebarang masalah.

Secara keseluruhannya, Alister didapati sihat dari segi mental serta tidak berada di bawah apa-apa pengaruh ketika melakukan kesalahan berkenaan.

Pakar psikitri sebaliknya hanya mencadangkan Alister menjalani sesi psikoterapi untuk pengurusan kemarahan dan memperbaiki fungsi penyesuaian sosialnya.

Justeru, laporan berkenaan secara keseluruhannya menunjukkan bahawa Alister layak dibicarakan di mahkamah kerana dia mampu memahami pertuduhan yang dikenakan ke atasnya.

Hakim Azhahari Kamal Ramli kemudiannya menetapkan Alister ditahan reman.

Mahkamah turut menetapkan 2 Ogos depan sebagai tarikh penghujahan.

Namun, menurut peguam Alister, Francis Teron ketika ditemui, masih mengekalkan pandangan yang beliau tidak memahami pertuduhan yang dikenakan ke atas anak guamnya.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Musli Abdul Hamid manakala tertuduh diwakili peguam Francis Teron, Desmond Kho dan Jeffrey Mok.  

Alister sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM50,000 atas pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW menerusi akaun ‘Ayea Yea’ iaitu akaun Facebook miliknya.

Hukuman tersebut menarik perhatian pelbagai pihak sehingga ada yang memohon semakan semula kes kerana dikhuatiri Alister berdepan masalah mental.

Justeru, Mahkamah Tinggi menetapkan agar dia dihantar ke Hospital Sentosa Kuching untuk menjalani pemerhatian mental selama tiga bulan.

Advertisement