Anda di sini

Eksport durian sejuk beku ke China dijangka 1,000 tan metrik sebulan

Advertisement
 Nur Alifah Najwa Ramli dari Beho Fresh Sdn Bhd bersama He. Yuhan dari Yechen iaitu syarikat pengimport durian China menunjukkan durian sejuk beku semasa majlis pelancaran pengeksportan sulung buah durian sejuk beku dalam bentuk biji dari Malaysia ke China di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani semalam. — Gambar Bernama
JANA PENDAPATAN: Nur Alifah Najwa Ramli dari Beho Fresh Sdn Bhd bersama He. Yuhan dari Yechen iaitu syarikat pengimport durian China menunjukkan durian sejuk beku semasa majlis pelancaran pengeksportan sulung buah durian sejuk beku dalam bentuk biji dari Malaysia ke China di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menjangkakan sekurang-kurangnya 1,000 tan metrik durian sejuk beku Malaysia akan menembusi pasaran China pada setiap bulan, kata Menterinya Datuk Salahuddin Ayub.

Bercakap kepada media pada majlis pengeksportan sulung durian sejuk beku Malaysia ke China di sini semalam, Salahuddin berkata hasil eksport itu dijangka memberi nilaian kepada sumbangan eksport negara kira-kira RM500 juta setahun.

Menurutnya, protokol pengeksportan durian sejuk beku dalam bentuk biji telah ditandatangani pada 20 Ogos tahun lepas di Beijing, China.

Lima syarikat telah diberi kebenaran untuk mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk biji (keseluruhan buah) ke China iaitu Exofruits Industry Sdn Bhd, JL Food Industries Sdn Bhd, PHG Ever Fresh Food (M) Sdn Bhd, Top Fruits Sdn Bhd dan KAMI Food Services Sdn Bhd, katanya.

“Kita harap lebih banyak syarikat dapat kelulusan mengeksport pada masa yang terdekat ini,” katanya. Turut hadir pada majlis itu ialah Duta Besar China ke Malaysia Bai Tian.

Salahuddin berkata kementerian yakin jumlah pengeluaran durian di negara ini mencukupi bagi memenuhi pasaran tempatan, pasaran luar negara sedia ada serta pasaran besar China.

Menurutnya, jumlah pengeluaran durian telah meningkat kepada 341,000 tan metrik pada tahun lepas berbanding 211,000 tan metrik pada 2017, dan dijangka terus meningkat pada tahun-tahun akan datang khususnya varieti premier seperti Musang King dan Black Thorn.

“Hasil rundingan dengan pihak China sejak beberapa tahun lalu juga membuatkan lebih banyak pembukaan ladang-ladang secara komersil, sekaligus meningkatkan jumlah pengeluaran durian,” katanya.

Menurutnya, usaha Malaysia untuk menembusi pasaran China bagi buah durian bermula sejak 2007 dan hasil rundingan antara kedua-dua negara, Malaysia akhirnya berjaya mengeksport durian sejuk beku dalam bentuk ulas dan pes pada Mei 2011.

Nilai eksport pada tahun lepas dalam bentuk ulas dan pes ke China adalah RM9.445 juta atau 235.62 tan metrik. — Bernama

Advertisement