Anda di sini

VAR nafi Peru lakar kemenangan pada perlawanan pembukaan Copa Amerika

Advertisement
  Rondon (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain Peru ketika beraksi pada perlawanan di Arena Do Gremio, Porto Alegre kelmarin. — Gambar AFP
KAWALAN KETAT: Rondon (tengah) cuba melepasi kawalan dua pemain Peru ketika beraksi pada perlawanan di Arena Do Gremio, Porto Alegre kelmarin. — Gambar AFP

PORTO ALEGRE, Brazil: Venezuela, yang menamatkan permainan dengan 10 pemain ekoran penyingkiran Luis Mago, mengutip satu mata berharga selepas seri tanpa jaringan dengan Peru, yang mempunyai dua ‘gol’ yang dinafikan oleh video bantuan pengadil (VAR), pada perlawanan pembukaan mereka di Copa Amerika Sabtu lepas.

Satu mata itu meletakkan kedua-dua pasukan berkongsi di tangga kedua Kumpulan A, di belakang pasukan tuan rumah yang memulakan kejohanan dengan kemenangan 3-0 ke atas Bolivia pada hari Jumaat.

Peru mempunyai peluang yang lebih baik pada perlawanan di Gremio Arena di sini tetapi dua gol mereka tidak dibenarkan pengadil selepas semakan VAR kerana ofsaid.

Seperti yang dijangkakan pada perlawanan di awal kejohanan, kedua-dua pasukan bermain secara berhati-hati walaupun penjaga gol Venezuela, Wuilker Farinez bekerja-keras untuk mengelak pintu golnya dari dibolosi.

Peru menjaringkan gol seawal minit ketujuh apabila Farinez gagal menangkap kemas satu tendangan percuma cantik Yoshimar Yotun, membolehkan Christofer Gonzalez merembat bola muntah tetapi kesilapan Farinez itu diselamatkan oleh VAR.

Christian Cueva kemudian melakukan rembatan liar untuk Peru ketika mereka terus menguasai permainan, walaupun Yangel Herrera mempunyai peluang buat Venezuela tetapi gagal melakukan penyudah kemas walaupun hanya berhadapan penjaga gol Pedro Gallese.

“Kami berasa agak kecewa kerana kami fikir kami selayaknya menang,” kata kapten Peru, Paulo Guerrero. “Kami gagal mencari gol yang diharapkan.

“Kami mencuba sedaya yang kami mampu. Apa yang kurang hanya satu gol.”

Kepantasan Jhon Murillo di sayap kiri mengucar-kacir pertahanan Peru dan Renato Tapia dilayangkan kad kuning kerana mengasarinya tetapi Gallese menepis satu tendangan percuma Jefferson.

Selepas rehat, satu cubaan Salomon Rondon untuk Venezuela tersasar sebelum Peru sekali lagi menjaringkan gol pada minit ke-63 tetapi buat kali kedua juga, gol itu tidak dibenarkan selepas semakan VAR kerana ofsaid.

Permainan semakin menarik pada 15 minit terakhir apabila Mago diperintah meninggalkan padang selepas menerima kad kuning kedua perlawanan.

Farinez kemudian menyelamat pasukannya apabila menepis bola sebelum melepasi garisan gol dari satu cubaan Edison Flores.

Peru tetap tidak berputus asa tetapi Farinez sekali lagi beraksi tangkas menepis cubaan Flores dengan satu tandukan Jefferson Farfan tersasar.

“Ia adalah yang sukar, kami menyedarinya. Venezuela sudah meningkat dengan banyak,” kata pemain pertahanan Peru, Carlos Zambrano.

“Ia keputusan seri yang tetap penting, ia merugikan kerana kami gagal menang tetapi ia lumrah dalam sukan ini, kami harus meneruskan kehidupan,” kata Farinez.

“Keputusan ini sangat penting untuk kami dan selepas ini kami perlu memperbaiki dan meningkatkan lagi permainan sebelum menentang Brazil,” tambah Farinez, yang menarik minat dari kelab gergasi bola sepak Eropah, Barcelona. — AFP

Advertisement