Anda di sini

Tessa Neeson ‘hargai keberanian’ Liam Neeson

Advertisement
THOMPSON

AKTRES ‘Men in Black’ Tessa Thompson berkata dia “menghargai keberanian” bintang yang berlakon bersamanya Liam Neeson mendepani perasaan rasisnya pada masa lalu, ketika filem itu dikeluarkan Rabu lepas.

Aktres Afrika-Amerika itu – yang mencipta nama sebagai aktivis hak sivil Diane Nash dalam ‘Selma’ – berkata dia telah berhubung dengan Neeson sejak dia mengakui menyimpan perasaan mahu membunuh lelaki berkulit hitam secara rambang selepas seorang wanita yang rapat dengannya dirogol.

“Saya mengadakan banyak perbualan menerusi emel dengan Liam,” kata Thompson, yang membawa watak rekrut baharu Agent M di samping Chris Hemsworth dalam ‘Men in Black: International’.

“Saya menyedari bahawa apabila kita bercakap kepada media, kadang-kadang terdapat jurang yang sangat besar di antara apa yang anda inginkan dan impak yang anda berikan,” katanya.

Thompson, yang turut berlakon dalam ‘Creed’ dan dua filem blockbuster terbitan Marvel, ‘Thor’ dan ‘Avengers’, memberitahu AFP dia mendapati Neeson, 67, “sangat responsif” kepada kebimbangannya.

“Saya menyuarakan kepada Liam tentang kepentingan dalam fikiran saya untuk menjelaskan hatinya, kerana ramai orang yang tidak dekat dengannya tidak akan memahaminya, dan kata-katanya pasti akan mengelirukan mereka, dan bagi ramai, benar-benar melukai dan mengasingkan mereka,” tambahnya.

Neeson menunjukkan pemadam ingatan yang digunakan oleh ejen MIB dalam poster bagi filem berkenaan, dan pengulas media sosial berkata eksekutif Hollywood mungkin berharap ia adalah benar selepas kemarahan yang dia cetuskan pada Februari lalu ketika mempromosikan filem aksi balas dendam ‘Cold Pursuit’.

Bintang ‘Star Wars’ dan ‘Schindler’s List’ itu menarik perhatian apabila dia tidak menyertai jelajah publisiti untuk melancarkan filem blockbuster itu yang dibuka di Amerika Syarikat pada Jumaat.

Segelintir peminat menuntut agar dia dipotong dari filem itu, seperti Kevin Spacey dari ‘All The Money In The World’ selepas dikenakan pelbagai tuduhan gangguan seksual.

Bagaimanapun Neeson membawa watak penting dalam filem itu sebagai High T, ketua biro MIB di London yang ditugaskan untuk melindungi “Bumi daripada sampah alam semesta”.

Thompson berkata dia harap iktibar sudah didapati daripada pengakuan Neeson, dan pelakon kelahiran Ireland itu menafikan dia adalah rasis dan berkata dia sekadar cuba “bercakap secara terbuka” mengenai “rasisme dan kebencian” yang tersirat.

“Saya menghargai keberaniannya untuk bercakap mengenai sesuatu yang berlaku pada masa silamnya,” kata aktres itu sewaktu jelajah promosi di Paris, di mana filem itu dibuka pada Rabu.

“Saya tidak rasa bertanggungjawab untuk bercakap bagi pihaknya,” tambahnya, “tetapi ia membolehkan perbualan sebenar berlaku dan ia adalah waktu untuk belajar.”

“Saya rasa semua kita perlu sedar bahawa kata-kata kita boleh memberi kesan yang amat besar, khususnya jika kita dalam kedudukan kuasa yang diberikan oleh selebriti kepada kita. Saya gembira kerana dia telah meluangkan masa untuk menjelaskannya.”

Thompson lebih berhati-hati mengenai reaksinya sendiri kepada pengakuan Neeson, dan mengakui dia ada “banyak untuk diperkatakan tetapi masa tidak mencukupi…  

“Tetapi saya akan mengakui, disebabkan oleh pengalamanya (membesar di Ireland Utara) terdapat beberapa perbezaan budaya.”

Neeson kerap menyatakan dia rasa seperti warga kelas kedua ketika dia membesar sebagai seorang Katolik di Ireland Utara pada zaman pergolakan ‘Troubles’.

Sementara Whoopi Goldberg dan Michelle Rodriguez telah membelanya, pengarah Ava DuVernay – pengarah wanita berkulit hitam pertama yang pernah dicalonkan bagi anugerah filem terbaik Oscar untuk ‘Selma’ – tidak begitu memaafkan.

“Apabila orang tanya saya apa keistimewaan kulit putih. Bayangkan jika ini adalah Will Smith”, dia menulis dalam Twitter berhubung satu laporan tentang kenyataan Neeson, yang merujuk kepada bintang kulit hitam dalam tiga filem ‘Men in Black’ pertama. — AFP

Advertisement