Anda di sini

Springsteen kembali dengan album baharu

Advertisement
 

MATAHARI yang terbenam di atas sebatang jalan terbuka, bandar kecil yang meng-alami kesusahan – dan seekor kuda yang berlari di gurun? The Boss sudah kembali, dan lebih besar berbanding selama ini.

Bruce Springsteen mengeluarkan album baharu pertamanya sejak lima tahun lalu pada Jumaat, sambil memanggilnya “kotak rekod yang bernilai”.

“Rekod ini kembali kepada rakaman solo saya yang memaparkan lagu-lagu yang didorong oleh perwatakan dan susunan orkestra yang sinematik dan menyeluruh,” kata Springsteen.

Dia masih mendendangkan renungan yang sayu mengenai keadaan Amerika dengan suaranya yang serak-serak basah, tetapi dalam albumnya yang ke-19, inspirasinya sudah berubah.

Daripada bandar kecil Rust Belt yang usang ekoran penurunan ekonomi dan semangat, dia kembali kepada lagu-lagu klasik country-pop selatan California dari zaman 1960an dan 70an, sambil menyerapkan muziknya dengan nostalgia mendalam bagi era keemasan di Amerika Syarikat, yang perlahan-lahan terkubur di bawah pasir California tetapi dengan harapan untuk pengembaliannya.

Hasilnya adalah sebuah album 13 lagu – bertajuk ‘Western Stars’ – yang meliputi “pelbagai jenis tema Amerika yang menyeluruh, tentang lebuh raya dan ruang gurun, tentang pengasingan dan komuniti,” penyanyi rock berusia 69 tahun itu menyebut dalam satu kenyataan.

Tetapi juga mengenai “keabadian tempat asal dan harapan”.

Lagu single pertama dalam album itu, ‘Hello Sunshine’, yang muncul pada April, berbunyi seperti lagu balada country yang perlahan, dengan lirik yang mengundang kembali harapan ke dalam kehidupan ‘underdog’ lama.

Springsteen menyusuli lagu itu dengan ‘Tucson Train’ pada Mei, yang menceritakan tentang seorang lelaki yang mengubah kehidupannya. Lirik yang optimis diiringi instrumen klasikal, termasuk seluruh bahagian brass untuk menggantikan mendiang rakan pemuzik Springsteen, yang juga pemain saksofon E Street Band yang begitu disayangi, Clarence Clemons, yang meninggal dunia pada 2011.

‘Western Stars’ – dengan seni muka depan yang menunjukkan seekor kuda dengan kot coklat bersinar yang berlari merentasi gurun – memberi penghormatan kepada pemuzik-pemuzik pada zaman muda Springsteen.

Album itu memaparkan gema-gema Glen Campbell, Roy Orbison dan, khususnya dalam ‘Hello Sunshine’, versi Harry Nilsson bagi ‘Everybody’s Talkin’.

Dengan bermain-main dengan apa yang sudah sekian lama menarik minatnya, Springsteen mendedahkan lebih banyak tentang dirinya, dengan cara yang selari dengan kesa-yuannya ikhlas.

Ini bukan kali pertama Springsteen telah mencari inspirasi daripada California.

Ketika dia menjadi penyanyi utama kumpulan Steel Mill, dia cuba keluar dari New Jersey antara 1969 hingga 1971, yakin bahawa adunan rock dan rhythm & blues akan lebih difahami di negeri ‘Golden State’ itu.

Pada 1972, dia menulis lagu ‘California’, setahun selepas ibu bapanya berhijrah ke negeri tersebut.

Dia sendiri pindah ke sana pada 1991, di mana dia mengahwini gitaris Patti Scialfa, yang masih menjadi anggota E Street Band.

Beberapa tahun kemudian, Springsteen merakamkan albumnya ‘The Ghost of Tom Joad’ di rumahnya di Los Angeles, yang seterusnya memenangi Anugerah Grammy pada 1997 bagi ‘Best Contemporary Folk Album’.

‘Western Stars’ merupakan album studio pertama Springsteen sejak ‘High Hopes’ pada 2014, yang menyusuli ‘Wrecking Ball’ pada 2012.

Ia juga dikeluarkan beberapa bulan selepas artis itu menutup siri pertunjukannya yang amat berjaya sekali di Broadway, sebuah program 236 konsert yang kini dapat diperolehi secara striming dalam Netflix.

Ketika pertunjukan itu berakhir pada Disember selepas beberapa pembaharuan, ia merupakan salah satu tiket yang paling diidamkan di Broadway, dengan harga jualan semula yang mencecah AS$1,000. — AFP

Advertisement