Anda di sini

Perkara Yang Menghambat Kemajuan Usahawan Dan Cara Mengatasinya

 
Oleh ROSHAN THIRAN

Setiap kali saya diminta nasihat bagi memulakan bisnes atau mengetuai pasukan, yang bertanya itu akan mengutarakan isu praktikal yang dirasa perlu diatasi.

  • “Bagaimana saya hendak menjana modal yang mencukupi?”
  • “Apa yang perlu saya lakukan untuk memasarkan produk saya?”
  • “Bagaimana untuk membuatkan ahli pasukan saya beria-ia dalam bisnes ini seperti saya?”

Segala-galanya berfokus pada aspek luaran, tetapi ada sesuatu yang berlaku yang tidak disedari orang lain.

Terutamanya bagi rantau ini, menjaga maruah adalah rukun utama dalam kalangan masyarakat kita. Masukkan usahawan ke dalam persamaan itu, dan perspektif tentang keadaan semasa menjadi bercelaru sehinggakan membuatkan seseorang itu tidak tahu di mana ingin bermula untuk keluar dari takuk lama.

Usahawan dikaitkan dengan kata-kata popular seperti mengasak, memacu, persaingan, keazaman, etika kerja.

Jadi, ia tidak memeranjatkan apabila cabaran mendatang, usahawan selalunya mencari punca masalah di sekeliling mereka. Namun, seringkali isu itu bermula bukan daripada halangan luaran, tetapi dari dalaman pemimpin-pemimpin itu sendiri.

Memulakan bisnes adalah mencabar, dan usahawan adalah antara mereka yang mempunyai tahap stres yang paling tinggi. Seperti kata ketua pegawai eksekutif SpaceX dan Tesla, Elon Musk:

“Realitinya adalah tahap tinggi yang hebat, tahap rendah yang dahsyat dan stres yang tidak henti-henti. Rasanya tidak ada sesiapa yang hendak dengar tentang dua perkara terakhir itu.”

Jadi, apabila kita mencampurkan tahap stres tinggi dengan cabaran yang ketara dan kejutan yang dilalui di sepanjang perjalanan, apakah satu-satunya perkara yang boleh mematahkan semangat usahawan?

Ya, betul – kurang keyakinan terhadap kepimpinan sendiri.

Percaya pada diri sendiri

Untuk rekod, saya bukan bercakap tentang ‘flauntpreneurs’ – mereka yang berjaya sekali dua, kemudian berbelanja sesuka hati dengan meminum champagne dan mengikuti percutian mewah (lihat Instagram untuk bukti).

Saya bercakap tentang usahawan sebenar yang terlalu sibuk dan penat bekerja setiap hari. Mereka yang kurang bercakap tetapi membuktikannya dengan hasil yang diraih.

Walaupun dengan etika kerja yang begitu gigih dan fokus yang jitu, sebab mengapa ramai usahawan tidak ‘menjadi’ adalah kerana jauh di lubuk hati mereka tidak yakin dengan diri sendiri.

Inilah yang meningkatkan tahap stres mereka dan mengaburi pertimbangan dan kebolehan mereka untuk melihat butir-butir khusus yang menunjukkan mengapa kemajuan tidak dapat dicapai secepat yang diingini.

“Berdasarkan pengalaman saya, usahawan terbaik bukanlah mereka yang fikir mereka tahu segala-galanya; tetapi mereka yang tidak takut untuk mengatakan “Saya tak pasti” dan “Saya tak tahu”. Ini membuatkan minda mereka sentiasa di dalam keadaan ingin tahu dan berfikir supaya mereka terus belajar.”

Dan mereka yang tidak pasti (untuk menyelesaikan masalah, bukan tentang diri mereka), mereka inilah yang mempunyai keyakinan dalam diri sendiri.

Mengapa? Kerana mereka berfokus untuk mencipta nilai dan membina legasi demi kebaikan diri mereka — perkara terakhir yang difikirkan adalah imej mereka dan pandangan orang lain terhadap mereka.

Jadi, apa yang boleh dilakukan untuk membina keyakinan diri sendiri yang dapat memacu kemajuan dan membawa kejayaan yang boleh dibanggakan sebagai usahawan?

Berikut adalah lima cadangan yang saya selalu utarakan kepada pemimpin yang bertanya tentang cara mengatasi halangan:

1. Manfaatkan kekuatan anda, tetapi ketahui kekurangan anda

Pemimpin selalu bercerita tentang manfaat menerima kegagalan dan kelemahan kita… tetapi berapa banyak kisah kegagalan pernah anda baca yang diceritakan dengan nada seolah-olah merendah diri tetapi akhirnya agak menunjuk-nunjuk sehingga menimbulkan rasa kurang senang orang lain?

“Masuk akal jika kita mengusahakan kekuatan kita (lakukan perkara yang anda terdaya lakukan dengan terbaik!) tetapi keyakinan pada diri sendiri datang daripada mengenali kelemahan diri dan menerima hakikat bahawa tiada sesiapa boleh mempunyai segala-galanya.”

Tambahan pula, jangan diam membisu dalam perbualan – berceritalah tentang kepayahan dan kegagalan anda. Ia mungkin nampak bertentangan dengan intuisi, tetapi mengambil sikap terbuka tentang diri sendiri adalah asas kepada mempercayai diri sendiri.

  2. Terima kritikan, tetapi jangan terasa sangat

Kita semua membuat kesilapan, sama seperti kita semua mencapai kejayaan. Apabila anda dipuji, ia tidak bermakna anda menjadi lebih hebat; sama juga jika anda dikritik, bukan bermaksud anda menjadi lebih hina.

Di mana kritikan itu sah dan membina, dengar dan belajar daripadanya. Jika anda tahu ia tidak berasas, buat tak tahu sahaja – jangan biarkan kata-kata orang lain mengawal kebahagiaan anda atau mengubah fokus anda.

Berkaitan: 4 Teknik Berkesan Untuk Menjadi Lebih Yakin 3. Lakukan perkara yang anda inginkan untuk sebab yang betul

Jika anda memulakan bisnes dengan harapan untuk meraih untung dengan cepat atau hendak menambah baik imej anda, baik anda berhenti mengusahakan bisnes itu sekarang juga. Tentulah, anda mungkin akan mendapat beberapa kejayaan pada mulanya, tetapi dengan niat yang dangkal, ‘asakan’ anda tidak akan kekal lama.

Lakukan apa yang anda suka, cipta nilai untuk orang lain, dan bersedia untuk kekal lama dalam bisnes ini untuk legasi yang berpanjangan. Biarkan kemajuan dan pencapaian anda membuktikannya, dan tinggalkan tugasan pos Instagram yang mencolok mata kepada mereka yang inginkan kemasyhuran 15 minit.

4. Bersiap sedia

Mungkin anda akan bertanya untuk apa. Untuk apa-apa sahaja. Memulakan bisnes bermakna perubahan kepada kehidupan sosial, berkorban, bekerja keras, kerja lebih masa, dan memastikan anda membina asas yang kukuh.

Apabila kita melihat mereka yang telah berjaya, kita sering memfokuskan kepada saat kecemerlangan mereka — dan bukannya ketika mereka melalui zaman naik turun sebelum itu.

Jika anda benar-benar ingin bisnes anda berkembang maju, anda perlu tahu apa yang perlu anda lakukan dan sentiasa bersedia untuk sebarang kemungkinan, hinggakan ke perinciannya. Semuanya masuk akal.

5. Hargai peluang yang didapati

Bukan semua yang ingin memulakan bisnes dapat peluang melakukannya. Tidak kira apa alasannya, ramai yang tidak mendapat peluang tersebut, dan bagi mereka yang berjaya memulakan langkah pertama, terdapat godaan untuk melihat kehidupan sebagai usahawan seperti pergelutan yang kejam, seperti kerja harian yang memerlukan pengorbanan yang datang tanpa jaminan.

Ini adalah cara terpantas untuk mengurangkan keyakinan terhadap diri sendiri. Sebaliknya, cuba begini pula: Anda mempunyai peluang untuk mendorong diri sendiri, untuk berkembang, dan membina sesuatu yang berpotensi untuk memberi nilai kepada orang yang tidak terkira banyaknya.

Akhir kata

Memanglah, menjadi usahawan adalah sangat sukar, tetapi ia juga masa terbaik untuk menemukan diri sendiri, melalui transformasi, dan mencipta produk luar biasa atau perkhidmatan yang menyelesaikan masalah.

Belajar mencintai proses tersebut, naik turunnya, dan ia pasti akan memberi pulangan yang tak terfikir dek akal.

Sumber
Sumber