Anda di sini

Pelancong lemas di Tasik Geneva semasa ribut

Advertisement
 Awan ribut meliputi Tasik Geneva di Chexbres, barat Switzerland kelmarin. — Gambar AFP
TRAGIK: Awan ribut meliputi Tasik Geneva di Chexbres, barat Switzerland kelmarin. — Gambar AFP

GENEVA: Seorang wanita lemas di Tasik Geneva ketika bot persiaran yang dinaikinya karam semasa ribut kuat melanda beberapa bahagian di Switzerland kelmarin, kata pihak polis.

Seorang lelaki yang berada di dalam bot yang sama berjaya berenang ke kapal lain lalu melepaskan dua tembakan suar, jelas Joanna Matta, jurucakap polis wilayah Geneva.

Lelaki itu memberitahu pihak berkuasa bahawa wanita tersebut telah melalui kawasan Geneva sebelum tiba-tiba dibadai ribut, kata Matta.

Tiga bot polis dan perkhidmatan kecemasan kemudian bergegas ke tempat kejadian.

Beberapa penyelam polis kemudian mengeluarkan mayat wanita tersebut dari tasik.

Mangsa, yang mana kerakyatannya masih belum diketahui, kemudian dibawa ke sebuah hospital di Geneva di mana dia disahkan meninggal dunia.

Dalam insiden berasingan, ribut turut memusnahkan sebahagian daripada 465 bot yang turut serta dalam edisi ke-81 Bol d’Or, acara regata tahunan di Tasik Geneva, menurut pihak perkhidmatan media bagi acara tersebut.

Hujan lebat dan angin kuat membadai para peserta tengah hari kelmarin, menyebabkan bot-bot karam walaupun tiada sesiapa yang tercedera.

Bagaimanapun, ribut telah mematahkan tiang layar kapal terpantas Real Team yang mendahului tetapi terpaksa menarik diri daripada perlumbaan.

Keadaan cuaca buruk melanda bahagian barat Switzerland tengah hari kelmarin, membawa hujan dan angin selaju 110 kilometer sejam, menurut jabatan ramalan cuaca MeteoSwiss.

Di wilayah berhampiran Perancis di Haute-Savoie ribut turut menyebabkan kerosakan dan mengakibatkan seorang pelancong Jerman berusia 51 tahun meninggal dunia selepas sebatang pokok tumbang menimpa kawasan perkhemahan. — AFP

Advertisement