Anda di sini

Masyarakat diseru terus menyokong Kompleks PERYATIM Sibu

Advertisement
 Dr Annuar (lima dari kiri), Yusnar (empat kanan), Wan Hamid (dua kanan), Siaw (tiga kanan) dan yang lain bersama-sama memotong kek sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kompleks PERYATIM Sibu Jumaat lalu.
POTONG KEK: Dr Annuar (lima dari kiri), Yusnar (empat kanan), Wan Hamid (dua kanan), Siaw (tiga kanan) dan yang lain bersama-sama memotong kek sebagai simbolik perasmian Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kompleks PERYATIM Sibu Jumaat lalu.

SIBU: Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapa’ee menyeru masyarakat di Sibu khasnya, supaya terus menyokong Kompleks PERYATIM Sibu agar kebajikan anak-anak yatim yang menghuni di kompleks berkenaan sentiasa terjaga.

Menurutnya, kompleks berkenaan banyak bergantung kepada sumbangan dan derma daripada masyarakat umum kerana ia tidak mendapat peruntukan secara mutlak daripada kerajaan negeri mahupun persekutuan.

“Seperti yang kita sedia maklum, kewujudan kompleks ini adalah atas tanah seluas 12 ekar yang disumbangkan oleh (Temenggung) Datuk Wan Hamid (Edruce Tuanku Mohamad).

“Di samping itu, sumbangan dalam bentuk kewangan dan keperluan harian anak-anak adalah daripada orang ramai yang digunakan untuk meneruskan kos operasi kompleks ini.

“Semua sumbangan ini adalah daripada masyarakat, khususnya di Sibu kerana tidak putus-putus memberi derma dalam bentuk wang ringgit mahupun dalam bentuk apa jua keperluan harian anak-anak di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Kompleks PERYATIM Sibu di sini, Jumaat lalu.

Hadir sama Pengerusi Exco PERYATIM Sibu Datuk Mohd Yusnar Matalie, Temenggung Datuk Wan Hamid Edruce Tuanku Mohamad, Residen Bahagian Sibu Charles Siaw dan beberapa tetamu kehormat yang lain.

Di samping itu, Menurut Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam itu, pada masa ini terdapat empat kompleks PERYATIM di seluruh Sarawak iaitu di Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu.

Walaupun ada cadangan untuk menubuhkan kompleks PERYATIM di tempat lain, namun kemudahan sedia ada masih memadai untuk menampung keperluan sedia ada.

“Kapasiti kita adalah besar, di mana di Kuching dan di Sibu mampu menampung  lebih 200 anak yatim, ini sama juga dengan PERYATIM di Miri dan Bintulu,” katanya.

Bagi di Sibu, beliau yakin di bawah pimpinan Yusnar, Kompleks Peryatim Sibu akan dapat melakar pelbagai kejayaan termasuk menangani pelbagai isu atau masalah berkaitan anak yatim.

“Sebab itu sejak dari dahulu lagi saya lihat beliau komited untuk memberi sumbangan dan kerjasama untuk menguruskan kompleks ini di Sibu.

“Bagi pihak saya, saya sedikit sebanyak akan terus bersama kompleks ini untuk menyumbang dari segi idea atau bantuan-bantuan lain untuk anak-anak di sini,” tambannya.

Sementara itu, majlis berlangsung meriah dengan pelbagai aktiviti daripada anak-anak yatim seperti persembahan silat, nyanyian, cabutan bertuah dan sebagainya.

Advertisement