Anda di sini

Manyin jamin pertahan semua kerusi majoriti Bidayuh

Advertisement
Manyin
Manyin

KUCHING: Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Sri Michael Manyin Jawong berkata beliau akan memastikan kesemua lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) majoriti Bidayuh tidak jatuh ke tangan pembangkang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Lapan kerusi Bidayuh itu ialah Opar, Tasik Biru, Mambong, Tarat, Bukit Semuja, Serembu, Kedup dan Tebedu.

Sehubungan itu katanya, beliau akan menjadi ‘kapten’ khasnya Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadapi PRN akan datang yang bakal diadakan pada 2021.

“Saya akan menjadi kapten pada Pilihan Raya Negeri akan datang. Saya akan memimpin mereka. Apa yang berlaku selepas itu tidak penting.

“Pada PRN nanti saya masih menteri dan akan terus memimpin (dalam perjuangan PRN) nanti,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2019 anjuran menteri dan menteri muda Dayak daripada PBB di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, semalam.

Manyin yang juga Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu bagaimanapun menegaskan bahawa cabaran utama dihadapi komuniti Bidayuh pada PRN nanti ialah ‘tipu daya’.

“Sebelum ini (semasa pemerintahan Barisan Nasional) semua orang tidak berani bersuara tetapi sekarang di bawah pemerintahan PH (Pakatan Harapan) orang semakin terbuka.

“Jadi ini antara cabaran besar kerana rakyat khususnya Bidayuh lebih terbuka dan berani,” katanya.

Justeru ujarnya, GPS lebih-lebih lagi akan melakukan yang terbaik memastikan kesemua lapan kerusi majoriti Bidayuh menang pada PRN nanti.

“Kami akan memenangi kesemuanya. Kita mesti optimis. Saya percaya semua Bidayuh bersetuju, tiada siapa dapat membantu mereka selain kerajaan negeri.

“Saya akan menggunakan teknik dan strategi tertentu dan seseorang itu perlu bertanding tidak mewakili parti tertentu tetapi dia sendiri sebagai calon mewakili Bidayuh menerusi GPS,” ujarnya.

Beliau juga menyerahkan kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menentukan sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Tebedu pada PRN akan datang.

Manyin menyandang kerusi Tebedu sejak 1996 dan penggal ini adalah yang kelima baginya sebagai wakil rakyat di konstituensi itu.

  • oleh
  • Advertisement