Anda di sini

Kanada melangkah ke peringkat kalah mati

Advertisement
  Prince  (tengah)  diasak oleh dua pemain New Zealand ketika bersaing pada perlawanan di Stade des Alpes, Grenoble kelmarin. — Gambar AFP
SENGIT: Prince (tengah) diasak oleh dua pemain New Zealand ketika bersaing pada perlawanan di Stade des Alpes, Grenoble kelmarin. — Gambar AFP

GRENOBLE, Perancis: Kanada menewaskan New Zealand 2-0 pada aksi Kumpulan E Piala Dunia Wanita di sini Sabtu lepas dan mengesahkan tempat ke pusingan kedua tetapi meletakkan New Zealand diambang penyingkiran awal dari kejohanan.

Pada perlawanan awal di Valenciennes, Belanda menewaskan Cameroon 3-1 untuk turut mengumpul enam mata dari kumpulan yang sama dan juga mengesahkan tempat ke pusingan kedua.

Kanada menewaskan Cameroon 1-0 pada perlawanan pertama mereka sementara New Zealand tewas 0-1 kepada Belanda menerusi gol minit akhir.

“Ini adalah pasukan yang hebat, saya percaya dengan pemain saya,” kata jurulatih Kanada, Kenneth Heinr-Moller. “Pemain dari bangku simpanan juga memberikan sumbangan dan pasukan ini menjadi semakin bagus.”

Sabtu lepas, Kanada sekali lagi menguasai permainan dengan mempunyai 22 serangan dengan 11 tepat ke pintu gol New Zealand tetapi mereka hanya membuka jaringan pada minit ke-48.

Nichelle Prince melakukan larian deras dari sayap kiri, di mana pertahanan New Zealand kelihatan rapuh terutama sekali selepas pemain pertahanan kanan, C.J. Bott dikeluarkan kerana kecederaan pada minit ke-17.

Prince membawa bola masuk ke kotak penalti sebelum mengumpan kepada Jessie Fleming untuk melakukan penyudah.

Prince menambah jaringan pada minit ke-78 selepas menolak bola muntah apabila tandukan kencang Christine Sinclair terkena palang gol.

Ia adalah satu lagi malam mengecewakan buat Sinclair, 36, yang memburu rekod 184 gol antarabangsa yang dijaringkan penyerang Amerika Syarikat (AS), Abby Wambach.

Sinclair kekal dengan 181 gol bersama Kanada selepas melihat satu lagi cubaannya tersasar dalam separuh masa kedua sebelum satu tandukan terkena palang untuk gol Prince.

Kanada dan Belanda akan bertemu di Reims pada perlawanan terakhir kumpulan pada 20 Jun untuk menentukan siapa juara kumpulan.

Pada masa yang sama, New Zealand akan menentang Cameroon di Montpellier dengan kedua-dua pasukan akan memburu mata pertama mereka.

Kemenangan untuk kedua-dua pasukan mungkin mampu membawa mereka ke pusingan kedua atas tiket sebagai salah sebuah pasukan tempat ketiga terbaik.

“Saya fikir kami bertahan dari awal permainan dan gagal melaksana pelan permainan kami,” kata jurulatih New Zealand, Tom Sermanni. “Kami jelas dikuasai lawan, jadi saya harus mengucapkan tahniah kepada Kanada di atas permainan cemerlang mereka.

“Tetapi ada beberapa perkara yang kami lakukan dengan baik ketika menentang Belanda (tewas 0-1), tidak kami lakukan malam ini. Saya fikir kami tidak menang sebarang cabaran bola dan kami kelihatan gagal memberikan sebarang tekanan ke atas pemain Kanada. Anda tidak dapat melakukannya apabila menentang pasukan seperti Kanada.” — AFP

Advertisement