Anda di sini

Kahlua, kucing pertama dari Sarawak menang anugerah dalam pertunjukan antarabangsa

Advertisement
 Chong (dua kanan) dan Kelvin (kiri) berkongsi kejayaan Kahlua, kucing milik Cheah (dua kiri) mengharumkan nama Sarawak dalam peta peminat kucing. Turut kelihatan Julian Tan (kanan).
MEMBANGGAKAN: Chong (dua kanan) dan Kelvin (kiri) berkongsi kejayaan Kahlua, kucing milik Cheah (dua kiri) mengharumkan nama Sarawak dalam peta peminat kucing. Turut kelihatan Julian Tan (kanan).

KUCHING: Kahlua, kucing pertama dari Sarawak memenangi anugerah baka Maine Coon terbaik dalam pertunjukan antarabangsa anjuran Persatuan Peminat Kucing (CFA) pada 30 April lepas.

Dilahirkan dan dibesarkan di Kuching, kucing berusia satu tahun lima bulan milik Cheryl Cheah ini turut memenangi pelbagai anugerah dalam kategori-kategori lain persaingan di seluruh dunia.

Kejayaan Kahlua dan pemiliknya Cheah mengharumkan nama Sarawak dalam peta peminat kucing turut mendapat perhatian Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen.

Sebagai mengiktiraf usaha baik oleh Cheah dan kucing miliknya, Chong yang juga Ahli Parlimen Stampin  bersama Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii masing-masing menyampaikan sagu hati RM1,000 kepada Cheah dan kucingnya.

“Kita amat berbangga dengan pencapaian Cheah bersama kucingnya, namun menurut Cheah berikutan wabak rabies di Sarawak ia telah menjadikan lebih sukar untuk kucingnya bersaing dalam pertandingan luar.

“Meskipun dengan keputusan ujian bebas rabies daripada United Kingdom (UK), permohonan kucing dari Sarawak untuk bersaing di Semenanjung Malaysia tetap dinafikan.

“Berikutan itu, Cheah telah memaklumkan perkara ini untuk perhatian Kelvin untuk membantu merayu kepada Menteri Pertanian membenarkan Kahlua bersaing di Kedah, yang merupakan pertandingan terakhir sebelum musim pertunjukan tahun ini,” katanya pada sidang media di ibu pejabat DAP di sini semalam.

Chong turut menyokong aktiviti berkaitan kucing dan telah  menyumbang RM5,000 kepada Kelab Kucing Jalanan Sarawak.

Sebahagian daripada sumbangan ini turut digunakan untuk membiayai perbelanjaan pertandingan Kahlua.

Dalam pada itu Cheah berkata, beliau yakin kucingnya mempunyai peluang yang baik untuk menang berdasarkan markah yang diperolehi dalam pertunjukan sebelum ini.

Sehubungan itu Cheah akan memohon kepada Kerajaan Sarawak menerusi Ketua Menteri untuk mengeluarkan pasport kucing bagi memudahkan urusan dokumen perjalanan bagi kucingnya menyertai pertunjukan luar.

“Pasport untuk tempoh sah satu tahun memadai untuk kucing saya. Saya berharap akan mendapat pasport ini daripada Kerajaan Sarawak,” katanya.

Kahlua, kucing gebu dengan bulu bewarna perang, hitam dan putih ini juga merupakan Kucing Terbaik Malaysia dan satu-satunya kucing Malaysia yang disenaraikan Sepuluh Kucing Terbaik di Kejohanan Baka Antarabangsa bersaing dengan kucing dari negara seperti Indonesia, Thailand, Korea Selatan, Singapura, Hong Kong dan Filipina.

Advertisement