Anda di sini

Copa Amerika: Colombia kejutkan barisan bintang Argentina

Advertisement
 Reaksi Messi (tengah) dan rakan sepasukan selepas tamat perlawanan di Fonte Nova Arena, Salvador kelmarin. — Gambar AFP
PERMULAAN SUKAR: Reaksi Messi (tengah) dan rakan sepasukan selepas tamat perlawanan di Fonte Nova Arena, Salvador kelmarin. — Gambar AFP

SALVADOR, Brazil: Roger Martinez menjaringkan satu gol cantik ketika Colombia mengejutkan Argentina 2-0 pada perlawanan pertama Kumpulan B Copa Amerika, yang hanya menyerlah dalam separuh masa kedua selepas permulaan hambar Sabtu lepas.

Ketika Colombia diasak teruk oleh barisan pemain bintang Argentina, Martinez, yang dimasukkan sebagai pemain gantian, mengawal satu hantaran lintang cantik di sayap kiri sebelum mengelecek masuk ke dalam kotak penalti dan melakukan penyudah cantik.

Gol itu hadir pada minit ke-71 sebelum seorang lagi pemain gantian, Duvan Zapata, menjaringkan gol kedua dari jarak dekat selepas umpanan Jefferson Lerma, 15 minit kemudian.

“Kami tahu ia satu tempoh yang lama sejak kali terakhir kami menewaskan Argentina dan kami berasa sangat gembira dengan kemenangan ini,” kata Zapata kepada wartawan.

“Kami akan meraikan kemenangan ini, ia satu keputusan yang hebat tetapi kejohanan masih panjang dan kami ada banyak lagi perlawanan sukar.”

Kedua-dua penyokong saling berbalas sorakan di Arena Fonte Nova, memberikan perangsang buat penganjur kejohanan, CONMEBOL selepas sekitar 40,000 tempat duduk tanpa penonton ketika perlawanan di antara Peru dan Venezuela pada awal hari yang sama.

Penyokong kedua-dua pasukan bagaimanapun tidak mempunyai banyak yang dapat diraikan pada separuh masa pertama yang hambar walaupun Colombia beraksi lebih baik tetapi Argentina mulai menyerlah selepas Rodrigo de Paul menggantikan Angel di Maria tidak lama selepas rehat dengan kapten pasukan, Lionel Messi, dapat mencari beberapa ruang untuk melakukan umpanan berbahaya.

Messi mensia-siakan peluang terbaik sebelum gol Martinez apabila gagal melakukan rembatan bola muntah dari jarak dekat sebelum melakukan larian solo beliau ke kotak penalti tetapi penyudah beliau mengecewakan.

Permainan menjadi tegang apabila Messi dikasari Juan Cuadrado, menyebabkan beberapa kekecohan melibatkan kedua-dua pemain tetapi keadaan berjaya dikawal dengan segera.

Argentina mempunyai beberapa lagi cubaan dengan dua cubaan Leandro Paredes tersasar.

Ketika Argentina membayangkan satu gol selepas melakukan asakan demi asakan, bintang Colombia, James Rodriguez, melepasi pertahanan Argentina sebelum melakukan umpanan jauh kepada Martinez, yang menggantikan Luis Muriel kerana kecederaan, untuk membuka jaringan.

Argentina cuba bangkit dengan beberapa cubaan tetapi tidak kelihatan mampu menembusi pintu gol Colombia.

“Kami beraksi dengan baik pada 20 minit pertama, dan selepas itu kami menamatkan permainan dengan buruk,” kata jurulatih Argentina, Lionel Scaloni.

“Kami kerap hilang bola dalam separuh masa kedua, kami sebenarnya lebih kuat berbanding Colombia tetapi apabila anda beraksi di tahap terbaik, mereka mencipta kejutan dari serangan pantas.”

Scaloni juga mengadu tentang keadaan padang yang beliau anggap “amat dikesali”.

“Tetapi hakikatnya, saya akan melihat dari perlawanan ini di mana kami dapat menyesuaikan diri dan meningkatkan permainan dalam separuh masa kedua,” tambah beliau. “Ia mungkin tidak menarik tetapi ia akan membantu kami pada perlawanan seterusnya.”

Argentina, yang kali terakhir memenangi kejuaraan Copa Amerika pad 1993, menentang Paraguay pada perlawanan kedua di Belo Horizonte Rabu depan.

Kemenangan itu meletakkan Colombia di tangga teratas Kumpulan B dengan tiga mata, dengan satu lagi perlawanan di antara Qatar dan Paraguay berlangsung lewat. — Reuters

Advertisement