Anda di sini

Bom kereta gegar ibu negara Somalia

Advertisement
 Askar dan orang ramai dilihat di tempat kejadian di Mogadishu, kelmarin. — Gambar AFP
MENGGEMPARKAN: Askar dan orang ramai dilihat di tempat kejadian di Mogadishu, kelmarin. — Gambar AFP

MOGADISHU: Sebuah bom kereta meletup berhampiran Parlimen Somalia kelmarin, mengorbankan lapan orang, menurut pekerja kecemasan, beberapa jam selepas pihak militia menghukum mati sembilan orang awam dari klan yang disyaki mempunyai hubungan dengan Islamis Al-Shabaab.

“Kami telah mengesahkan lapan orang terkorban dan 16 orang lagi tercedera dalam letupan tersebut,” menurut perkhidmatan swasta Aamin Ambulance.

Satu letupan kedua di sebatang jalan raya utama menuju ke lapangan terbang di bandar utama Mogadishu di Somalia tidak menyebabkan sebarang kematian.

Kumpulan Al-Shabaab mengaku bertanggungjawab bagi serangan menyatakan mereka telah menyasarkan dua pos pemeriksaan, salah satu daripadanya di sepanjang jalan raya lapangan terbang dan satu lagi sepanjang jalan yang menuju ke dewan perundangan.

Abdulahi Mire, yang telah menyaksikan letupan berhampiran bangunan parlimen menyatakan: “Saya melihat empat mayat dan empat orang lagi tercedera dalam letupan.”

Polis telah menutup jalan raya tersebut dan ambulans telah bergegas ke tempat kejadian, tambah beliau.

Peniaga runcit tempatan Naimo Ali menyatakan letupan adalah besar dan telah memusnahkan sebahagian kedainya.

“Saya melihat beberapa orang bergelimpangan di atas jalan dan sebahagian daripada mereka tidak bergerak langsung,” tambah beliau lagi.

Menurut kepada sumber keselamatan kereta kedua yang membawa bahan letupan sebuah Toyota Noah, dikesan pasukan keselamatan di sebuah pos pemeriksaan.

Mereka melepaskan tembakan dan membunuh seorang lelaki di dalam kereta, yang kemudian telah meletup.

Tiada sesiapa yang tercedera dalam letupan itu.

Pejuang Shabaab yang dikaitkan dengan Al-Qaeda telah berjuang selama lebih sedekad bagi menggulingkan kerajaan Somalia.

Pada 2011, mereka telah meninggalkan beberapa kedudukan yang mereka pernah tawan di Mogadishu, dan sejak itu telah hilang banyak kubu kuat.

Namun mereka mengekalkan kawalan di beberapa kawasan luar bandar yang besar di negara ini dan terus untuk melakukan satu perang gerila terhadap pihak berkuasa.

Pada awal kelmarin, pihak polis menyatakan militia tempatan telah menghukum mati sembilan orang awam sebagai balasan bagi Al-Shabaab membunuh seorang anggota polis.

Serangan dendam pada Jumaat lepas berlaku hanya di luar Galkayo, salah satu bandar paling membangun di tengah negara, mensasarkan klan Rahanweyn, beberapa anggotanya disyaki sebagai pejuang Shabaab.

“Ini adalah satu insiden yang sangat teruk, pembunuhan kejam terhadap sembilan orang awam yang tidak bersenjata di selatan Galkayo,” kata Mohamed Abdirahman, anggota polis tempatan.

“Kesemua orang awam itu berasal dari sebuah klan dan penyerang bersenjata telah menembak mati mereka di satu lokasi beberapa minit selepas penyerang Shabaab yang disyaki terbunuh.

“Pembunuhan mereka tidak dapat dijelaskan dan kelihatan bahawa penyerang yang tidak berperikemanusiaan telah menyerang balas bagi anggota keselamatan, yang mereka percayai telah dibunuh penyerang bersenjata Al-Shabaab terhadap klan mangsa tersebut,” tambah beliau.

Beberapa orang saksi memberitahu media tempatan mangsa telah dikepung dari jalan raya atau rumah mereka serta ditembak mati di luar bandar Galkayo.

“Ia merupakan profil yang melibatkan etnik,” kata Abdulahi Moalim, ahli keluarga salah seorang mangsa.

“Apa kesalahan yang mereka telah lakukan?”

Beberapa pegawai tempatan sebelum ini telah menuduh klan Rahanweyn menimbulkan ketidakstabilan di wilayah dan membekalkan pejuang untuk Shabaab.

Pihak militia yang dituduh melakukan serangan dendam adalah dari Saad Habargidir, klan kecil dari kumpulan Hawiye yang dominan di bahagian selatan bandar.

Galkayo, kira-kira 600 kilometer di utara Mogadishu, terletak di sempadan dengan wilayah autonomi yang diakui sendiri Puntland dan Galmudug.

Bandar tersebut telah menjadi kawasan bagi pertempuran kejam di antara pasukan tentera bagi dua wilayah sejak beberapa tahun ini dan turut menyaksikan keganasan di antara dua klan yang bermusuhan menakluki daerah utara dan selatannya. — AFP

Advertisement