Anda di sini

Bimbang penyakit dari Kuala Koh, Orang Asli Sungai Berua tinggalkan penempatan

Advertisement
 Rosol (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Ketua Orang Asli Semaq Beri Ibrahim Awang, 75, (kiri) ketika tinjauan di Kampung Gerdong iaitu tapak penempatan sementara ketika tinjauan di Hulu Terengganu, semalam. — Gambar Bernama
RAMAH MESRA: Rosol (tengah) bertanyakan sesuatu kepada Ketua Orang Asli Semaq Beri Ibrahim Awang, 75, (kiri) ketika tinjauan di Kampung Gerdong iaitu tapak penempatan sementara ketika tinjauan di Hulu Terengganu, semalam. — Gambar Bernama

HULU TERENGGANU: Bimbang dengan kehadiran ‘tetamu’ Orang Asli suku Batek daripada Kuala Koh, Gua Musang, lebih daripada 150 Orang Asli suku Semaq Beri bertindak keluar dari kediaman mereka di Sungai Berua di sini sejak dua minggu lepas.

Tinjauan Bernama di Kampung Gerdong, iaitu tapak penempatan sementara yang menjadi pilihan Orang Asli Suku Semaq Beri mendapati terdapat kira-kira 26 khemah dan pondok telah didirikan di situ.

Ibrahim Awang, 75, yang menjadi ketua Orang Asli Semaq Beri berkata mereka bertindak keluar secara berperingkat selepas menyedari kehadiran beberapa orang dari Kuala Koh dan dimaklumkan mereka lari daripada penyakit setelah ramai meninggal dunia.

“Mula-mula ada dua orang mari (datang), lepas tu makin ramai dan dimaklumkan ada yang mati... ingatkan mereka nak dapatkan rawatan kat klinik kesihatan di sini (Sungai Berua) tetapi lama-lama mereka makin tak sihat.

“Saya tidak mahu kaum keluarga sakit seperti itu dan putuskan keluar dahulu ke tempat baharu. Semua yang ada di sini mempunyai pertalian persaudaraan dan kaum keluarga saya,” katanya yang mengakui mereka hanya akan pulang apabila yakin keadaan semakin selamat.

Meskipun berlaku perpindahan itu, masih ada beberapa keluarga lagi (jumlah sebenar tidak dapat dipastikan) yang memilih untuk terus tinggal di Sungai Berua dan ada sebahagian lagi keluar ke kawasan hutan lain.

Mengikut rekod Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Negeri Terengganu terdapat seramai 600 orang tinggal di Sungai Berua dengan 109 ketua isi rumah.

Setakat ini seramai tujuh Orang Asli yang berasal dari Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan telah dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu di Kuala Berang pada Rabu kerana mengalami gejala batuk dan sesak nafas.

Manakala seorang lagi dimasukkan ke hospital yang sama kerana mengalami cirit-birit, sakit perut serta muntah juga masih menerima rawatan sebagai pesakit Acute Gastroenteritis (AGE). Kesemua mereka dilaporkan stabil.

Lawatan Bernama bersama Ahli Parlimen Hulu Terengganu Datuk Rosol Wahid dan beberapa orang guru dan pegawai kesihatan lebih sejam lewat petang kelmarin mendapati Orang Asli dari Kuala Koh yang dilaporkan berada di Kampung Gerdong telah berpindah dan hanya tinggal suku Semaq Beri di situ.

Penempatan suku Semaq Beri atau bermaksud kaum hutan itu di Sungai Berua telah bermula sejak 35 tahun lalu iaitu setelah dipindahkan dari Tasik Kenyir berikutan pembinaan loji air dan pembangunan di tasik berkenaan.

Sepanjang perjalanan mencari lokasi penempatan tersebut pihak terbabit terpaksa melalui kawasan ladang kelapa sawit sebelum melalui jalan-jalan kecil dalam hutan serta perlu berjalan kaki sebelum tiba di kawasan hutan yang berdekatan sungai.

Ibrahim berkata kebiasaannya hanya ibu bapa yang akan keluar ke hutan dan anak-anak akan di tinggal di rumah tetapi kerana bimbang dengan penyakit yang masih menjadi tanda tanya itu, mereka bertindak membawa kesemua anak-anak meskipun yang masih kecil.

Katanya, setiap pondok mewakili satu keluarga dan seramai 56 kanak-kanak serta lelaki paling tua dalam suku tersebut iaitu Inang Salak, 89, turut berada di Kampung Gerdong.

“Kami kumpul rotan, madu dan tangkap ikan di kawasan ini. Ada bekalan makanan seperti beras kami bawa dari rumah. Kucing dan ayam pun kami bawa ke hutan ini,” katanya yang mempunyai 15 anak.

Ketika ditanya mengenai penerimaan terhadap cara perubatan moden apabila sakit, Ibrahim yang menggunakan dialek Terengganu itu berkata, kesemua Orang Asli Sungai Berua sentiasa ke klinik kesihatan berdekatan.

Mengakui masih mengamalkan perubatan tradisional terutama dalam menggunakan akar kayu, beliau berkata ‘anak buah’ suku tersebut sentiasa diperingatkan tentang penjagaan kesihatan dan sentiasa dilarang membuang sisa makanan di dalam sungai. — Bernama

Advertisement