Anda di sini

Baru setuju salah satu hakim harus berasal dari Sabah atau Sarawak

Advertisement

KUCHING: Menteri Kerja Raya Baru Bian bersetuju agar salah satu hakim kes pendengaran Mahkamah Rayuan membabitkan kes dari Mahkamah Tinggi di Sabah atau Sarawak harus berasal dari Sabah atau Sarawak.

Menurutnya sebelum ini beliau telah membangkitkan isu tersebut, iaitu mengenai kes-kes dari Sabah dan Sarawak dirujuk Mahkamah Rayuan oleh pihak yang kalah di Mahkamah Rayuan atau Mahkamah Persekutuan.

“Semakan kehakiman dalam kes rayuan Tuai Rumah Sandah Anak Tabau di Mahkamah Persekutuan akan dibuat tidak lama lagi. “Antara isu akan dibangkitkan dalam semakan kehakiman ini ialah komposisi hakim yang mendengar rayuan itu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi Majlis Rumah Terbuka Gawai Dayak 2019 anjuran pemimpin-pemimpin Dayak daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) di sini, semalam.

Baru yang juga pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak berkata firma guaman yang mewakili Tuai Rumah Sandah dalam semakan kehakiman itu akan membangkitkan isu komposisi hakim Mahkamah Persekutuan yang memansuhkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan yang memihak kepada Kerajaan Sarawak.

Menurutnya kesemua lima hakim mahkamah persekutuan yang mendengar rayuan Kerajaan Sarawak dari Semenanjung Malaysia.

Beliau juga bersetuju tidak wujud peruntukan undang-undang yang jelas mengenai komposisi hakim dalam sesi pendengaran rayuan kes dari Sabah dan Sarawak.

“Namun wujud pemahaman (mengenai perkara ini) di dalam Laporan Antara Kerajaan (IGC). Oleh itu saya berharap perkara ini akan dipertimbangkan oleh Jawatankuasa Pemandu Khas Kabinet iaitu seorang hakim dari Sabah atau Sarawak menghadiri kes-kes rayuan.

“Ia isu yang sangat relevan. Ia antara isu yang telah diputuskan. Jadi kita biarkan dahulu buat sementara waktu kerana masih banyak isu lain masih dibincang,” katanya.

Beliau menambah, untuk menyelesaikan isu berkaitan komposisi hakim mungkin Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda.

“Akhirnya, saya berpendapat mungkin perlu kerana harus ada peruntukan undang-undang jelas agar tidak wujud sebarang perbalahan. Jadi saya fikir ia adalah kesimpulan yang munasabah,” ujarnya.

Mengenai isu hakim yang mempunyai ‘pengalaman Borneo’ mendengar kes-kes rayuan dari Sabah dan Sarawak, Baru berkata Mahkamah Persekutuan telah membuat beberapa keputusan berhubung perkara itu.

Bagaimanapun beliau berpendapat, ‘pengalaman Borneo’ boleh diaplikasikan kepada mana-mana hakim dari Semenanjung Malaysia tetapi mereka mesti mempunyai pendedahan dalam konteks Sabah dan Sarawak.

“Saya fikir itu mungkin penterjemahan yang lebih diterima dan difahami dari segi ‘pengalaman Borneo’, kita bercakap mengenai pengetahuan dan budaya rakyat.

“Secara dasarnya, itulah isunya. Kita juga perlu memberi penghargaan kepada hakim-hakim kerana mereka mempelajari undang-undang rakyat dan secara dasarnya, pengalaman adalah tambahan membantu mereka membuat keputusan kes.

“Itu sangat penting dalam konteks Sarawak dan Sabah,” ujarnya.

Baru berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari iaitu kerajaan negeri mahu seorang hakim dari Sabah dan Sarawak bagi mendengar perbicaraan kes yang dibawa dari Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Menurutnya pelantikan hakim dari Sabah dan Sarawak perlu kerana mereka arif mengenai keadaan dan gaya hidup penduduk asal di kedua-dua negeri itu.

“Kita ada Mahkamah Tinggi Borneo dan Mahkamah di Malaya (Semenanjung Malaysia) biasanya kalau ada rayuan, mesti ada seorang hakim dari Borneo, iaitu Sabah atau Sarawak.

“Ini untuk memastikan Sarawak mempunyai wakil hakim yang lebih mengetahui tentang keadaan dan budaya orang Sarawak apabila ada kes dibawa ke Mahkamah Tinggi,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Makan Malam Sambutan Gawai Peringkat Negeri 2019 di sebuah hotel di sini, malam kelmarin (Sabtu).

Advertisement