Anda di sini

104,200 liter diesel seleweng dirampas

Advertisement
 Saharuddin (dua kanan) bersama anggotanya memeriksa kapal yang membawa 104,200 liter minyak diesel secara haram di Jeti Sungai Kuang dekat Kemaman, semalam. — Gambar Bernama
DISERBU: Saharuddin (dua kanan) bersama anggotanya memeriksa kapal yang membawa 104,200 liter minyak diesel secara haram di Jeti Sungai Kuang dekat Kemaman, semalam. — Gambar Bernama

CHUKAI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas 104,200 liter diesel yang dipercayai diseleweng dalam serbuan di sebuah jeti persendirian di Sungai Kuang di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Pengarah KPDNHEP Terengganu Saharuddin Mohd Kia berkata, rampasan itu turut melibatkan masing-masing sebuah kapal dan lori tangki dengan nilai keseluruhan dianggarkan berjumlah RM508,400.

“Rampasan tersebut merupakan yang pertama tahun ini dan ia antara terbesar pernah kita tahan,” katanya pada sidang media, di sini semalam.

Beliau berkata, turut ditahan lima lelaki termasuk empat kru kapal dan seorang pemandu lori yang kesemuanya penduduk tempatan berusia lingkungan 30-an.

Mengulas lanjut, Saharuddin berkata serbuan itu dijalankan lima anggota penguat kuasa KPDNHEP cawangan Kemaman hasil maklumat orang awam dan risikan selama tiga bulan.

Beliau berkata ketika serbuan, suspek sedang leka menjalankan aktiviti pemindahan diesel dari kapal ke lori tangki yang disambung menggunakan hos saluran minyak.

“Kita percaya urus niaga jual beli diesel telah berlangsung antara pihak terlibat di tengah laut dan dibawa ke darat untuk urusan pemindahan,” katanya.

Menurut beliau, kelima-lima suspek akan disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961, dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda sebanyak RM1 juta seorang dan penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam perkembangan lain, Saharuddin berkata KPDNHEP Terengganu menjalankan pemeriksaan terhadap 23,552 premis sejak Januari 2019 sehingga kini.

Daripada pemeriksaan itu, beliau berkata 341 kes diambil tindakan dengan nilai rampasan sebanyak RM830,000 serta kompaun berjumlah RM44,550.

“Bagi hukuman mahkamah pula, 30 kes disabit kesalahan dan dikenakan denda berjumlah RM140,800,” katanya. — Bernama

Advertisement