Anda di sini

Wanita maut, motosikal bertembung MPV di Jalan Lundu-Sematan

Advertisement
Mangsa (gambar sisipan) disahkan meninggal dunia di tempat kejadian

KUCHING: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Lundu-Sematan, Kampung Sebigo dekat sini malam semalam.

Mangsa dikenali sebagai Rosita William Gerang, 50, dari Kampung Sungai Lundu disahkan meninggal di tempat kejadian.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintenden Alexson Naga Chabu, kemalangan itu berlaku sekitar pukul 10.20 malam melibatkan sebuah motosikal dan kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu seorang lelaki warganegara Sepanyol, 32.

"Siasatan di tempat kejadian mendapati kemalangan maut ini berlaku apabila pemandu MPV dalam perjalanan dari Kuching menuju ke Kampung Biawak. Semasa sampai di kawasan Kampung Sebigo, tiba-tiba motosikal yang ditunggang wanita masuk ke laluan bertentangan dan merempuh hadapan kenderaan MPV," dedahnya dalam satu kenyataan hari ini.

Alexson berkata warga Sepanyol berkenaan tidak mempunyai sebarang kecederaan.

Beliau menambah, keadaan di tempat kejadian tersebut adalah gelap dan merupakan jalan dua hala.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, polis telah melawat ke tempat kejadian untuk mengambil rajah kasar dan gambar.

Manakala kenderaan yang terlibat ditahan di balai untuk pemeriksaan lanjut di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," ujarnya.
 

  • oleh
  • Advertisement