Anda di sini

Video gaduh tular: Polis soal siasat dua pelajar 13 tahun

Advertisement
Tangkap layar rakaman video pergaduhan melibatkan pelajar sekolah yang tular di Facebook
Tangkap layar rakaman video pergaduhan melibatkan pelajar sekolah yang tular di Facebook

SIBU: Perasaan tidak puas hati dipercayai menjadi punca kes pergaduhan antara dua pelajar sekolah menengah di Sibu yang rakaman videonya tular di laman sosial Facebook sejak beberapa hari lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata polis menerima laporan daripada pengetua sekolah berkenaan sekitar pukul 12.30 yang memaklumkan rakaman video pergaduhan pelajar di sekolahnya tular dalam Facebook. 

"Video yang ditularkan di Facebook dipercayai dimuat naik oleh seorang penama yang memaparkan satu rakaman pergaduhan pelajar di luar sekolah yang berdurasi 25 saat. 

"Rakaman tersebut tular sehingga menyebabkan pelbagai komen dan reaksi dari pelbagai pihak dan mendapat lebih kurang 34,000 tontonan serta 1,200 perkongsian di laman Facebook. 

"Sejurus melihat video tersebut, pengetua sekolah berkenaan, 52, tampil membuat laporan untuk siasatan pihak polis," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Stanley, hasil siasatan awal mendapati kejadian tersebut sebenarnya berlaku di tempat letak kereta Taman Villa, Sibu Jaya selepas sesi persekolahan sebelah petang pada 14 Mei lalu, sekitar pukul 6.30 petang.

"Pergaduhan tersebut telah dipercayai dirakam oleh pelajar, kemudiannya telah dikongsi bersama sehingga tular di laman sosial Facebook.

Stanley berkata polis juga telah mengesan mangsa dan suspek, masing-masing berusia 13 tahun, dan mereka telah dipanggil ke Balai Polis Sentral Sibu.

"Hasil soal siasat mendedahkan punca kejadian adalah disebabkan mangsa pernah memukul kepala suspek pada 12 Mei, sekitar pukul 11 pagi semasa berada di sekolah. 

"Mangsa juga dikatakan pernah memukul kepala serta memerli suspek sebagai anak luar nikah pada 14 Mei di dalam kelas. Suspek yang tidak berpuas hati dengan tindakan tersebut telah mengajak mangsa bergaduh di luar sekolah pada sebelah petang hari yang sama," katanya.

Tambah Stanley, pasukan siasatan telah mencari video yang dimuat naik oleh seorang penama dalam Facebook, namun video tersebut telah dipadam. Pemilik akaun Facebook tersebut telah berjaya dikesan dan telah dipanggil ke balai polis untuk diambil keterangan.

"Pemilik akaun tersebut mengatakan bahawa video tersebut dimuat naik ke laman sosial bertujuan untuk mencari ibu bapa kedua-dua pelajar yang terlibat kerana tidak mahu kejadian seperti itu berlaku di luar sekolah yang melibatkan pelajar.

"Beliau juga mengakui bahawa memperoleh video tersebut daripada salah satu kumpulan whatsapp dan bukan daripada individu yang merakam video tersebut. Individu sebenar yang membuat rakaman video tersebut belum diketahui setakat ini," ujarnya.

Jelas Stanley, ibu bapa kedua pelajar tersebut telah dipanggil ke balai dan telah berjumpa dengan pengetua bagi berbincang mengenai penyelesaian yang terbaik.

"Kedua-dua pelajar telah ditahan dan akan menjalani ujian air kencing oleh pihak narkotik," jelasnya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
 

  • oleh
  • Advertisement