Anda di sini

Siasat segera aduan petrol bercampur air - Chong

Advertisement
Chong (tengah duduk) bergambar bersama para penganjur dan tetamu jemputan yang lain sebagai tanda kenang-kenangan malam tadi.
Chong (duduk tengah) bergambar bersama para penganjur dan tetamu jemputan yang lain malam tadi

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sedang menyiasat aduan petrol bercampur air melibatkan sebuah stesen minyak di Jalan Urat Mata di sini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Chong Chieng Jen berkata pegawai penguatkuasa sudah dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai kes tersebut.

"Kita sudah menerima aduan, pegawai KPDNHEP telah mengambil tindakan dengan menyiasat aduan kes.

"Pihak kami juga telah menghubungi kontraktor syarikat stesen minyak berkenaan mengenai petrol yang disyaki terdapat campuran air yang dijual kepada pelanggan.

"Kita akan keluarkan hasil siasatan dalam masa terdekat ini," katanya ketika ditemui di Majlis Ramah Tamah Aidilfitri 2019 di Kampung Haji Baki di sini, Sabtu malam.

Bagaimanapun, tindakan seterusnya hanya akan diputuskan selepas siasatan selesai dan kesalahan yang dilakukan oleh pihak terbabit ditentukan.

Jelas beliau, jika ia dilakukan dengan sengaja, ia berkemungkinan mempunyai kesan terhadap pembatalan semula lesen pengoperasian pengusaha stesen minyak terbabit.

Pihak KPDNHEP tegasnya memandang serius perkara tersebut bagi melindungi hak pengguna, dan beliau tidak menolak kemungkinan terdapat kebocoran atau rekahan pada tangki petrol yang tidak disengajakan.

"Justeru kita bergantung kepada keputusan hasil siasatan itu nanti."

Sehingga Sabtu, stesen minyak berkenaan hanya membuka pam bernombor 9 manakala pam selebihnya ditutup.

Sementara itu, majlis menyaksikan pelbagai aktiviti diadakan bagi memeriahkan majlis ramah tamah Aidilfitri 2019 di SK Jalan Haji Baki.

Turut hadir, Pengarah Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Sarawak, Datuk Stanley Tan.
 

  • oleh
  • Advertisement