Anda di sini

Sentuhan Taylor bantu England atasi Argentina

Advertisement
 Taylor (tengah) menjaringkan gol pada aksi perlawanan Piala Dunia Wanita Kumpulan D di antara England dan Argentina di Stade Oceane di Perancis. — Gambar Reuters
BERBISA: Taylor (tengah) menjaringkan gol pada aksi perlawanan Piala Dunia Wanita Kumpulan D di antara England dan Argentina di Stade Oceane di Perancis. — Gambar Reuters

LE HAVRE: Jodie Taylor menamatkan kemarau gol selama 14 bulan untuk membantu England melepasi Argentina dan mara ke peringkat 16 terakhir Piala Dunia Wanita kelmarin ketika hatrik Cristiana Girelli menyaksikan pasukan Itali mara dengan kemenangan 5-0 ke atas Jamaica.

Taylor, penjaring terbanyak di Euro 2017, menjaringkan gol pertamanya untuk England sejak April 2018 daripada hantaran lintang rendah Beth Mead sejurus selepas minit ke-60 untuk meletakkan England di tempat teratas Kumpulan D dengan enam mata, dua di hadapan Jepun, dan mara ke pusingan seterusnya bersama Itali, Perancis dan Jerman dengan satu lagi perlawanan untuk diadakan.

“Saya mengakui bahawa jaringan gol saya kerana rakan-rakan sepasukan. Di Kejohanan Euro, saya memenangi kasut emas kerana rakan saya,” kata Taylor.

Pasukan Phil Neville kini memerlukan satu mata di Nice pada Rabu dalam perlawanan menentang Jepun, yang menewaskan Scotland 2-1 pada awal kelmarin, untuk memastikan mereka menamatkan cabaran di tempat pertama dan mengelak pertembungan dengan juara Eropah, Belanda.

Walaupun kalah, pasukan ‘Albicelestes’, di tempat ketiga dalam kumpulan dengan satu mata, masih dapat layak bagi peringkat kalah mati jika mereka menewaskan Scotland dalam perlawanan terakhir mereka di Paris, tetapi mereka perlu menunjukkan kesungguhan yang lebih tinggi dalam serangan berbanding apa yang mereka buat dalam dua perlawanan pembukaan mereka.

Maruah mereka dua kali diselamatkan oleh penjaga gol Vanina Correa, yang menolak tendangan penalti Nikita Parris pada minit ke-28 yang terkena tiang dan kemudian bertindak cemerlang untuk menafikan Mead yang bermain hebat empat minit sebelum waktu rehat.

Itali mengambil tempat mereka pada peringkat kalah mati ekoran jaringan hatrik Girelli, penyerang Juventus, dan dua gol lewat daripada Aurora Galli, yang turut memberikan enam mata sempurna kepada pasukan Milena Bertolini untuk meletakkan mereka di tempat teratas Kumpulan C.

Itali kini dapat menjamin tempat teratas dengan memperolehi kemenangan dalam perlawanan terakhir mereka menentang Brazil, tetapi perbezaan gol mereka yang lebih besar bermakna mereka dapat tewas dan masih kekal di tempat pertama.

“Kami tidak pernah menyangka kami akan mendapat keputusan seperti ini pada permulaan kejohanan,” kata Bertolini, pengurus pasukan yang merupakan antara pasukan bukan pilihan sebelum permulaan Piala Dunia.

Mana Iwabuchi meletakkan juara 2011 Jepun di landasan kemenangan ketika menentang Scotland dan Yuika Sugasawa menyempurnakan tendangan penalti untuk mencerahkan peluang Jepun mara ke peringkat 16 terakhir, hanya empat hari sahaja selepas persembahan yang mengecewakan dalam keputusan seri tanpa jaringan dengan Argentina.

Scotland mengurangkan jurang dengan satu pada hujung perlawanan menerusi Lana Clelland. — AFP

Advertisement