Anda di sini

Saudi pintas lima dron dilancar pemberontak Yaman

Advertisement

RIYADH: Tentera Saudi kelmarin memintas lima dron yang dilancarkan oleh pemberontak Yaman yang bersekutu dengan Iran, kata perikatan tentera pimpinan Riyadh, dalam serangan kedua ke atas sebuah lapangan terbang di barat daya Arab Saudi dalam tempoh dua hari.

Dron tersebut menyasari lapangan terbang Abha, di mana satu misil pemberontak pada Rabu mencederakan 26 orang awam, dan kota berhampiran Khamis Mushait, yang menempatkan sebuah pangkalan udara besar, pihak perikatan menyebut dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh media kerajaan Saudi.

Serangan terbaharu berlaku ketika ketegangan serantau meruncing selepas Washington menuduh Iran melancarkan serangan yang membakar dua kapal tangki di Teluk Oman, insiden kedua seumpamanya dalam tempoh sebulan di laluan laut yang strategik itu.

“Tentera udara dan tentera pertahanan udara diraja Saudi berjaya memintas dan memusnahkan lima pesawat dron automatik yang dilancarkan oleh militia Huthi ke arah lapangan terbang antarabangsa Abha dan Khamis Mushait,” kenyataan perikatan menyebut tanpa melaporkan sebarang kematian.

Lapangan terbang tersebut beroperasi seperti biasa tanpa mengganggu sebarang penerbangan, tambah kenyataan itu.

Al-Masirah TV kendalian Huthi melaporkan terdahulu bahawa pemberontak yang dikaitkan dengan Iran telah melancarkan serangan dron ke atas lapangan terbang Abha.

Puak pemberontak, yang mengalami serangan bom perikatan yang tidak putus-putus sejak Mac 2015 sehingga menyebabkan kematian orang awam yang begitu ramai, telah mempertingkatkan serangan misil dan dron ke seberang sempadan sejak beberapa minggu lalu dan memberi amaran bahawa lapangan terbang perikatan merupakan sasaran yang sahih.

Serangan terbaharu boleh memburukkan lagi kempen serangan bom oleh pihak perikatan selepas ia berikrar ekoran serangan misil pada Rabu lepas untuk “mengambil tindakan tegas” bagi mengekang pemberontak dan melindungi orang awam.

Misil mengenai lapangan terbang di pusat peranginan pergunungan Abha, yang merupakan destinasi musim panas yang popular bagi warga Saudi yang mahu mengelak kepanasan di Riyadh atau Jeddah.

Sewaktu jelajah media ke lapangan terbang terbabit pada Khamis, pihak berkuasa Arab Saudi berkata mereka telah menutup sebahagian daripada ruang ketibaan selepas misil menghasilkan lubang pada bumbung dan mengganggu penerbangan selama beberapa jam.

Kawasan tersebut ditutupi perancah buluh dan dikotori puing konkrit dan serpihan kaca.

Dua penumpang, termasuk seorang warga India, yang mengalami kecederaan ringan menceritakan tentang keadaan huru-hara dan jeritan selepas letupan kuat mencetuskan kebakaran, sehingga menyelubungi ruang ketibaan dengan asap.

Human Rights Watch (HRW) mengecam serangan itu sebagai “jenayah perang”.

“Puak Huthi harus segera menghentikan semua serangan ke atas infrastruktur awam di Arab Saudi,” kata timbalan pengarah HRW di Timur Tengah, Michael Page.

“Serangan udara yang menyalahi undang-undang oleh perikatan pimpinan Saudi di Yaman tidak pernah mewajarkan serangan Huthi ke atas orang awam Saudi.”

Seorang pegawai penerbangan awam Saudi berkata pihak berkuasa masih menyiasat dakwaan pemberontak bahawa mereka melepaskan misil berpandu ke lapangan terbang berkenaan.

Jika disahkan, ia merupakan satu lonjakan besar dalam keupayaan tentera pemberontak, kata pakar.

Pegawai itu juga mengesahkan ia tidak dipintas oleh pasukan meriam antimisil Patriot di Arab Saudi.

Arab Saudi sudah beberapa kali menuduh Iran menyediakan senjata canggih untuk puak pemberontak, satu tuduhan yang dinafikan oleh Tehran.

Perikatan campur tangan untuk menyokong kerajaan Yaman pada 2015 apabila Presiden Abedrabbo Mansour Hadi lari dan hidup dalam buangan di Arab Saudi ketika puak pemberontak semakin menghampiri wilayah terakhirnya yang masih belum ditawan di bandar raya kedua Aden dan sekitarnya.

Sejak itu, konflik sudah mengorbankan puluhan ribu orang, kebanyakan mereka orang awam, kata agensi bantuan.

Ia telah mencetuskan apa yang digambarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai krisis kemanusiaan terburuk di dunia, dengan lebih 24 juta warga Yaman, lebih dua pertiga daripada populasi yang memerlukan bantuan. — AFP

Advertisement