Anda di sini

Sarawak terus dukung pembangunan hutan mampan

Advertisement
 Abang Johari menyaksikan pertukaran dokumen antara Hamden (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili di Sabal Agroforestry Centre di Jalan Serian-Sri Aman, semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi
TERMETERAI: Abang Johari menyaksikan pertukaran dokumen antara Hamden (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Energy Datu Sharbini Suhaili di Sabal Agroforestry Centre di Jalan Serian-Sri Aman, semalam. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak akan mempergiatkan usaha penanaman semula serta pemulihan hutan di negeri ini untuk pembangunan hutan yang mampan.  

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, perhutanan merupakan satu industri yang sangat penting kepada negeri.

Justeru katanya, setiap pokok yang ditebang harus ditanam semula untuk memberi pulangan kepada negeri ini.  

Dari sudut penggunaan tanah katanya, seluas enam juta hektar adalah untuk hutan simpanan kekal dan satu juta hektar lagi untuk kawasan terlindung sepenuhnya.

Tetapi seperti kata Pengarah Hutan Sarawak Hamden Mohammad, Sarawak mesti mengekalkan 63 peratus litupan hutan untuk hutan yang mampan.

“Kita bertuah kerana mempunyai sinaran matahari dan hujan cukup yang diperlukan untuk pertumbuhan pokok.

“Sebab itu, kerajaan memberi penekanan untuk kita menanam dan memulih hutan gondol termasuk hutan paya.

“Banyak kayu ramin dan pokok-pokok lain yang boleh tumbuh subur di kawasan paya. Jadi, kita gunakan kawasan paya kita untuk menanam spesies-spesies pokok ini.

“Ini sudah tentu akan memperkayakan hutan simpan kita dan pada masa yang sama, membantu dunia menghasilkan alam sekitar yang sihat terutamanya menerusi pelepasan oksigen,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Program Restorasi Landskap Hutan Sarawak di Sabal Agroforestry Centre di Jalan Serian-Sri Aman di sini, semalam.

Sementara itu, Hamden berkata program itu telah dipromosikan secara meluas oleh masyarakat dunia bagi mengatasi masalah kemerosotan kawasan hutan akibat aktiviti pembangunan.

Program itu katanya, merupakan program yang dirancang bagi mengembalikan semula integriti ekosistem hutan dan meningkatkan kesejahteraan landskap kawasan hutan yang gondol.

Di Sarawak katanya, program itu telah dilaksanakan sejak dahulu lagi, namun konsep pelaksanaan program restorasi ini amat menyeluruh hasil daripada perbincangan di Forum Restorasi Hutan Sarawak pada Mac 2017.

“Selepas forum berkenaan dilancarkan, Jabatan Hutan Sarawak telah mengambil langkah proaktif bagi memperkasakan program restorasi seperti membangunkan semula tiga tapak semaian pokok hutan di Sabah Agroforestry Centre, Sarawak Tree Improvement Centre di Jalan Oya, Sibu dan Pusat Penyelidikan Hutan Niah di Miri.

“Melalui tapak-tapak semaian ini, kita sekarang telah mempunyai lebih kurang 300,000 anak pokok daripada pelbagai spesies tempatan bagi menjayakan program restorasi ini,” ujarnya.

Program semalam turut menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan dengan pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar di Sarawak antara Jabatan Hutan Sarawak dan pelbagai pihak seperti Shell Berhad, Sarawak Energy Berhad dan Persatuan Jepun-Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement