Anda di sini

Sarawak berpotensi keluarkan oksigen segar untuk kesihatan, pasaran luar

Advertisement
 Abang Johari memegang satu satu spesies pokok yang ditanam di Sabal Agroforestry Centre bagi tujuan pemulihan hutan Sarawak. Turut kelihatan Awang Tengah (kiri) serta yang lain. — Gambar Muhd Rais Sanusi
TERTARIK: Abang Johari memegang satu satu spesies pokok yang ditanam di Sabal Agroforestry Centre bagi tujuan pemulihan hutan Sarawak. Turut kelihatan Awang Tengah (kiri) serta yang lain. — Gambar Muhd Rais Sanusi

KUCHING: Sarawak berpotensi mengeluarkan oksigen segar dari sumber pokok yang terdapat di negeri ini bagi tujuan kesihatan dan pasaran luar.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak telah berjaya mengeluarkan hidrogen sendiri dari sumber air yang ada di negeri ini.

Kini katanya, Sarawak akan menerokai sumber pokok di negeri ini untuk mengeluarkan oksigen segar.

“Oksigen segar adalah baik untuk kesihatan dan ia boleh dibotolkan untuk dijual kepada negara lain.

“Kita ada teknologi untuk menghasilkan oksigen ini daripada pokok dan ada negara yang berminat untuk membelinya daripada kita,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Program Restorasi Landskap Hutan Sarawak di Sabal Agroforestry Centre yang terletak di Jalan Serian-Sri Aman dekat sini, semalam.

Pada sidang media itu, Abang Johari turut meminta pihak swasta terutama syarikat pembalakan untuk melabur semula dalam memperkayakan hutan Sarawak.

“Sasaran kita adalah untuk menanam semula lima juta pokok menjelang 2025.

“Syarikat-syarikat besar ini boleh memainkan peranan menanam semula pokok untuk mengekalkan dan memperluaskan lagi kawasan litupan hutan di negeri ini yang mana kini adalah 63 peratus,” katanya.

Bagi memastikan kemampanan pengurusan hutan di negeri ini, kerajaan menurut Abang Johari akan melakukan penstrukturan semula ke atas Jabatan Hutan Sarawak.

Di bawah penstrukturan ini katanya, satu jabatan baharu iaitu Jabatan Hidupan Liar akan ditubuhkan pada tahun depan yang akan menjaga taman negara serta habitat hutan.

Manakala, Jabatan Hutan sedia ada akan fokus kepada pembangunan serta pemulihan hutan di negeri ini.

Turut hadir pada program tersebut, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh serta Pengarah Hutan Sarawak Hamden Mohammad.

Advertisement