Anda di sini

Rabies: Kesedaran orang ramai masih rendah, kata Dr Annuar

Advertisement
DR ANNUAR
DR ANNUAR

SIBU: Kes baharu rabies membabitkan seorang wanita yang meninggal dunia pada Rabu lalu menunjukkan kesedaran orang ramai mengenai bahaya penyakit rabies masih rendah, kata Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Annuar Rapa’ee.

Dr Annuar yang juga Menteri Muda Pendidikan dan Penyelidikan Teknologi berkata, setiap penyakit berjangkit bukan sahaja perlu dibuat laporan, tetapi juga perlu dirujuk kepada pihak hospital terutama kepada Klinik Rabies dan Jabatan Veterinar untuk tindakan susulan.

“Setiap gigitan harus dilaporkan kepada pihak berwajib, supaya kita dapat melihat sama ada gigitan itu daripada anjing gila atau tidak.

“Sebab kita perlu mengesan anjing tersebut dan seterusnya mengisytiharkan kawasan tersebut sebagai suatu kawasan panas untuk rabies,” katanya.

Beliau berkata demikian apabila ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri 20179 yang dianjurkan Kelab Melayu Kampung Nyabor (MUC) di sini, malam kelmarin.

Sehubungan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu sekali lagi menyeru masyarakat supaya mengelakkan diri daripada terkena gigitan anjing kerana tanpa gigitan anjing tidak akan berlakunya wabak rabies ini.

Dalam pada itu, beliau menasihati para pemilik anjing supaya mengurung anjing mereka di dalam kawasan rumah bagi mengelak dijangkiti wabak rabies dengan anjing liar yang dikhuatiri membawa penyakit tersebut.

“Saya harap, kepada yang mempunyai anjing pastikan anjing tersebut mendapat vaksinasi dan selepas itu pastikan ianya dikurung dalam kawasan rumah.

“Kita sudah mendengar banyak kes di mana yang digigit anjing tersebut adalah kebanyakan anjing yang dibela oleh pemilik anjing itu sendiri,” tambahnya.

Sementara itu, mangsa seorang wanita berusia 61 tahun meninggal dunia pada Rabu lalu ketika dalam rawatan di wad Hospital Umum Sarawak (HUS).

Mangsa mempunyai sejarah digigit anjing liar di bahagian ibu jari tangan kanan pada 29 April lepas semasa cuba menghalau anjing tersebut dan mendapatkan rawatan di HUS pada 8 Jun.

Sehubungan itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menyiasat kes baharu rabies berkenaan yang menjadikan kes kematian ke-18 daripada 19 kes melibatkan mangsa rabies di Sarawak.

Uggah dilaporkan berkata, beliau berasa terganggu apabila membaca sejarah kes ini kerana ia dilaporkan bahawa doktor yang merawat mangsa telah gagal menghantar atau merujuk mangsa kepada Klinik Rabies di Kuching serta-merta.

Katanya lagi, siasatan perlu dibuat bagi memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam pengurusan kes tersebut.

Advertisement