Anda di sini

PIBG SK St Mary anjurkan program ‘Kita Raya Semua’

Advertisement
 Azmee (mencangkung, tiga kiri) bersama Morris (mencangkung, empat kiri) menyempurnakan upacara ‘ngiling bidai’ di SK St Mary, Sibu semalam.
RAIKAN BERSAMA: Azmee (mencangkung, tiga kiri) bersama Morris (mencangkung, empat kiri) menyempurnakan upacara ‘ngiling bidai’ di SK St Mary, Sibu semalam.

SIBU: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK St Mary menganjurkan program ‘Kita Raya Semua’ di dewan sekolah itu, semalam.

Menurut Yang Dipertua PIBG SK St Mary Sayed Azmee Wan Junaidi, acara itu diinisiatifkan oleh persatuannya untuk meraikan penutupan Gawai Dayak dengan upacara ‘ngiling bidai’ dan Hari Raya Aidilfitri.

“Oleh kerana semua kita menikmati makanan lazat yang disumbangkan oleh para ibu bapa, program ini adalah platform untuk mendidik dan menanamkan kesedaran yang lebih tinggi dalam kalangan anak-anak kita mengenai pentingnya semangat perpaduan yang mereka semua harus semaikan.

“Ini akan membantu menghasilkan generasi akan datang yang dapat mempromosikan dan menegakkan perpaduan yang sangat penting untuk persekitaran hidup aman harmoni,” tambahnya

Azmee berkata, acara itu juga bertujuan untuk memperkukuhkan hubungan antara kedua ibu bapa dan guru.

“Oleh itu, saya ingin menyeru semua ibu bapa supaya menggunakan masa yang berharga ini untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti sekolah.

“Ini untuk memberi motivasi dan menggalakkan anak-anak belajar lebih gigih lagi sebaik sahaja mereka melihat penglibatan ibu bapa mereka dengan aktiviti sekolah yang berfungsi sebagai sokongan moral kepada mereka,” tegasnya.

Pada program itu, murid-murid turut mempersembahkan tarian ngajat dan lagu-lagu Hari Raya.

Turut hadir, Guru Besar SK St Mary Morris Belayong dan Penolong Kanannya, Zainab Hamid.

Advertisement