Anda di sini

Peranan PPD, sekolah kian mencabar pastikan keseimbangan pelbagai aspek

Advertisement
 Barisan tetamu kehormat menyempurnakan upacara memotong kek pada sambutan Hari Guru, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri serta Program RIMUP 2019 di SJKC Su Lee, Sarikei semalam.
RASMI: Barisan tetamu kehormat menyempurnakan upacara memotong kek pada sambutan Hari Guru, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri serta Program RIMUP 2019 di SJKC Su Lee, Sarikei semalam.

SARIKEI: Peranan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah kini semakin mencabar untuk memastikan keseimbangan dalam pelbagai aspek.

Pegawai PPD Sarikei Lau Ngie Tung berkata, pendidikan pada masa ini memberi cabaran kepada para pelajar dalam menghadapi dunia serba canggih dan jauh berbeza dengan keadaan sebelumnya.

“Kini pelajar kita bakal berhadapan dengan fenomena ledakan maklumat, globalisasi, era digital dan sebagainya.

“Justeru, pendekatan kecemerlangan pendidikan harus memfokus kepada pembentukan modal insan yang lebih bersifat global dan mementingkan ilmu pengetahuan dalam era maklumat dan digital.

“Pada masa sama, tidak meminggirkan budaya warisan kaum yang perlu dipelihara supaya kehidupan yang harmoni dapat dikekalkan walaupun komuniti terdiri daripada pelbagai kaum.

“Oleh itu, setiap warga pendidik diseru menerapkan budaya saling menghormati antara kaum dalam kalangan pelajar mereka agar budaya murni ini dapat disemai dengan kukuh dan menjadi pegangan dan panduan mereka pada masa akan datang,” ujarnya.

Beliau berkata demikian melalui teks ucapan yang dibacakan wakilnya, Abdul Aziz Razali pada sambutan Hari Guru, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilfitri serta Program RIMUP 2019 di Sekolah Jenis  Kebangsaan Cina (SJKC) Su Lee dekat sini, semalam.  

Menurut Lau, usaha ini tidak hanya terletak di bahu pihak selolah semata-mata, sebaliknya menuntut kerjasama erat dan padu daripada ibu bapa.

Katanya, perpaduan dan sifat saling memahami harus menjadi pegangan seluruh warga sekolah dan ibu bapa bagi memastikan misi dan visi sekolah untuk melahirkan pelajar cemerlang dapat direalisasikan dengan jayanya.

“Kini, tugas warga pendidik bukan sekadar sebagai penyampai ilmu dan kemahiran, malah memainkan peranan sebagai pemangkin kepada para pelajar seperti yang disarankan dalam misi dan visi pendidikan negara.

“Guru-guru haruslah lebih kreatif dan inovatif dalam menyampaikan pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc)  yang berkesan dengan mengaplikasikan pembelajaran abad ke-21 untuk memastikan anak didik kita mampu bersaing di peringkat global,” tegas Lau.

Tambah Lau lagi, kejayaan sesebuah oraganisasi pendidikan antara lain banyak bergantung kepada kualiti perkhidmatan yang disumbangkan oleh warga pendidikan itu sendiri.

Turut hadir Guru Besar SJKC Su Lee Chan Lai Chan, Guru Besar SJKC Su Lok Yong Koh Keng, Guru Besak SK Sentebu Rugayah Nawawi serta Yang Dipertua (YDP) SJKC Su Lee Yeo Chiew Sing.

Advertisement