Anda di sini

Pemeriksaan penting pastikan pili bomba berfungsi dengan baik

Advertisement

SARIKEI: Pemeriksaan pili bomba satu langkah amat penting untuk memastikan ia berfungsi dengan baik setiap masa dan tidak bermasalah.  

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata pemeriksaan dijalankan sekurang-kurangnya sekali setahun untuk semua pili bomba terdapat di kawasan ini.

“Melalui pemeriksaan, anggota bomba memastikan setiap pili itu berada dalam keadaan baik dan berfungsi sepenuhnya serta bebas sebarang halangan seperti sampah sarap, kayu, semak, kerosakan ataupun kehilangan komponen.

“Pada masa sama, anggota bomba melakukan pemeriksaan tekanan air pada setiap pili bomba yang diperiksa.

“Setelah pemeriksaan dilakukan, anggota membuat laporan untuk rujukan pihak atasan dan tindakan selanjutnya jika mempunyai masalah,” katanya di sini semalam.

Berdasarkan rekod Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei terdapat 1,209 unit pili bomba.

Mahmudin turut mengalu-alukan masyarakat khususnya yang pili bomba berdekatan dengan kediaman mereka mendaftar sebagai ahli dalam program ‘Teman Pili Bomba’.

“Keahlian terbuka kepada semua lapisan masyarakat berumur 18 tahun ke atas dan borang pendaftaran boleh didapati di semua Balai Bomba dan Penyelamat berhampiran.

“Teman Pili Bomba berperanan memberi pengetahuan kepentingan penjagaan pili bomba dan aset kerajaan memastikan berada keadaan baik dan boleh digunakan pada bila-bila masa.

“Program ini bagi mewujudkan kerjasama erat kalangan masyarakat dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di samping memastikan pili bomba bebas sebarang aktiviti vandalisma,” jelasnya.

Sebanyak 16 unit pili bomba dari kawasan Jalan Bangunan Kerajaan dan Jalan Getah diperiksa unit Bravo diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan I, Haron Jenai.

Advertisement