Anda di sini

Pelajar UiTM hangatkan suasana di Boulevard dengan aksi 'flash mob'

Advertisement
 Para pelajar mempersembahkan rentak tarian masing-masing pada acara aksi rasa kilas di Boulevard.
MARI MENARI: Para pelajar mempersembahkan rentak tarian masing-masing pada acara aksi rasa kilas di Boulevard.


KUCHING: Pengalaman beli belah di Boulevard Shopping Mall di sini hujung minggu lepas dihangatkan dengan persembahan 'flash mob' (aksi rasa kilas) yang disajikan oleh para pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak.

Kesemua 25 belia yang terlibat dalam acara tersebut merupakan pelajar Tahun 1-Semester 2 di bawah Fakulti Pengurusan Hospitaliti dan Pelancongan.

Menurut Pensyarah Kanan UiTM Sarawak Nuraini Putit, program 'Flash Mob 2019' ini merupakan salah satu tugasan para pelajar bagi subjek 'Mesyuarat-Insentif-Persidangan-Pameran' (MICE) mereka.

Namun, beliau percaya apa yang pelajar beliau perolehi daripada acara ini menjangkau lebih daripada apa yang mereka pelajari daripada kuliah.

"Para pelajar ini berada dalam satu industri yang menuntut mereka agar lebih berketerampilan, dan juga memiliki kemahiran komunikasi dan pengurusan acara.

 Nuraini (tengah) menerangkan tugasan kepada kru beliau sebelum acara bermula.
SEDIA: Nuraini (tengah) menerangkan tugasan kepada kru beliau sebelum acara bermula.

"Oleh itu, acara ini merupakan bayangan kepada apa yang mereka akan hadapi dalam alam pekerjaan yang sebenar," kata beliau.

Di samping itu, Nuraini menambah bahawa program ini berfungsi untuk mengetengahkan bakat dan potensi di kalangan para pelajar beliau.

"Mereka harus tahu dan faham akan maksud bekerja keras. Program ini tidaklah menguntungkan saya atau para tenaga pengajar lain, sebalik mereka (pelajar) yang akan menerima manfaatnya."

Nuraini juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan penghargaan kepada Absolute Fitness sebagai koordinator bersama program ini, dan juga kepada pihak pengurusan Boulevard yang menyediakan tempat acara.

Di samping aksi rasa kilas, acara tersebut juga merangkumi beberapa gerai jualan yang dikendalikan oleh para usahawan tempatan.
 

Advertisement