Anda di sini

Pasukan bola sepak Ecuador ingin jadikan kejayaan Carapaz sebagai inspirasi mereka

Advertisement
 Orang ramai mengiringi bas yang membawa Carapaz dengan menunggang basikal di Ecuador. — Gambar Reuters
KEBANGGAAN: Orang ramai mengiringi bas yang membawa Carapaz dengan menunggang basikal di Ecuador. — Gambar Reuters

BELO HORIZONTE: Ecuador mahu mencontohi kejayaan juara berbasikal Giro d’Italia, Richard Carapaz, dan ‘mencipta kejutan’ di kejohanan bola sepak Copa America di Brazil, kata pemain pertahanan tengah Arturo Mina kelmarin.

Carapaz, 26, mengejutkan dunia berbasikal pada bulan lepas apabila dia memenangi jelajah Itali selama tiga minggu – perlumbaan berperingkat-peringkat kedua paling berprestij dalam sukan itu selepas Tour de France.

Dia menerima sambutan perwira ketika dia pulang ke kampung halaman di Quito pada Isnin lepas setelah dia menjadi penunggang kedua dari Amerika Latin, selepas Nairo Quintana dari Colombia pada 2014, untuk memenangi Giro.

Dan menurut Mina, sukan Ecuador “sedang meningkatkan tahapnya dengan begitu ketara sekali. Kita ada atlet yang menaikkan negara dan kami juga berharap untuk berbuat demikian”.

“Kami akan mencipta kejutan,” kata pemain pertahanan berusia 28 tahun di kelab Yeni Malatyaspor di Turki.

Mereka akan menentang gandingan dua penyerang paling menggerunkan dalam kejohanan ini: Luis Suarez dan Edinson Cavani.

“Ia sangat sukar untuk bermain menentang pemain-pemain ini yang merupakan penjaring gol bagi pasukan mereka dan bermain dalam liga besar,” kata Mina.

Ecuador, yang juga akan menentang juara bertahan Chile dan pasukan jemputan Jepun, merupakan sebuah daripada hanya tiga sahaja daripada 10 negara anggota persekutuan Amerika Selatan yang tidak pernah memenangi Copa.

Pencapaian terbaik mereka sebelum ini adalah tempat keempat pada 1959 dan 1993, kedua-duanya sebagai pasukan tuan rumah.

“Matlamat kami adalah untuk memenanginya, tetapi kami ada seteru yang sukar,” akui Mina. — AFP

Advertisement