Anda di sini

Paip rosak akibat pembinaan jalan punca gangguan air di kawasan Suai

Advertisement
 Penghantaran bekalan air ke Rumah Robert, Suai.
LANGKAH SEGERA DIAMBIL: Penghantaran bekalan air ke Rumah Robert, Suai.

KUCHING: Gangguan bekalan air yang dialami penduduk di kawasan Suai dekat Niah pada musim perayaan lepas disebabkan kerosakan pada sistem perpaipan berpunca daripada kerja-kerja pembinaan jalan.

Kementerian Utiliti dalam kenyataan bersama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) semalam berkata, pihak jabatan telah memberi laluan kepada Lebuhraya Borneo Utara (LBU) untuk melakukan kerja-kerja pengalihan paip pada bulan Mei lalu.

Terdapat lima kes paip pecah yang dilaporkan sehingga Jun pada tahun ini akibat kerja-kerja pembinaan di kawasan Suai dan Niah.

Sistem rawatan air turut dilaporkan mengalami kerosakan mekanikal pada 5 Jun 2019 dan menyebabkan kapasiti pengeluaran bekalan air berkurangan, namun berjaya dibaiki pada jam 2 pagi keesokannya.

“Loji rawatan air kembali beroperasi secara normal pada 6 Jun 2019, namun sesetengah kawasan masih lagi mengalami ‘air lock’ dan kerja-kerja ‘flushing’ turut dilakukan.

“Namun begitu tekanan air ke kawasan Rumah Robert mengambil masa untuk kembali pulih.

“Pada masa sama, proses penghantaran air turut dilakukan ke kawasan-kawasan yang terjejas bagi memastikan penduduk kampung mendapat bekalan air untuk kegunaan harian,” kata kenyataan tersebut.

Susulan ganguan bekalan air itu, JBALB membuat penghantaran air sebanyak lima trip (bersamaan 1,200 gelen) berdasarkan permintaan di kawasan terjejas iaitu di Rumah Robert serta kawasan berdekatan seperti Klinik Kesihatan Suai dan SK Batu Telingai.

Masalah bekalan air di kawasan Rumah Robert kembali pulih pada Selasa, 11 Jun 2019, namun kawasan-kawasan lain yang terjejas dijangka kembali pulih sepenuhnya secara berperingkat minggu ini.

“Pihak kami amat prihatin terhadap masalah ini dan telah menyediakan dua pelan tindakan utama iaitu tindakan segera dan tindakan jangka sederhana untuk menambah baik bekalan air di kawasan Suai.

“Tindakan segera adalah untuk menambah baik sistem agihan bekalan air yang sedia ada, manakala bagi tindakan jangka sederhana, dua projek telah dan bakal dilaksanakan iaitu Projek Rakyat di bawah Pakej NR2 dan Projek Bekalan Air Kompleks Suai Fasa Kedua,” katanya.

Projek rakyat di bawah Pakej NR2 melibatkan kerja-kerja menaik taraf komponen-komponen mekanikal sedia ada di Loji Rawatan Air Suai serta pembinaan stesen pam penggalak di tapak berdekatan dengan Pusat Penyelidikan Hutan di Sungai Sebubok, Niah untuk mengepam air hingga ke kawasan sekitar Suai hingga ke Rumah Robert.

Projek itu dijangka siap pada Oktober 2020.

Manakala, projek kedua iaitu Projek Bekalan Air Kompleks Suai Fasa Kedua yang melibatkan kerja-kerja pembinaan tiga buah tangki iaitu di Sepupok, Batang Suai serta di KM125 dijangka siap pada pertengahan 2022.

Kedua-dua inisiatif ini akan dapat meningkatkan kapasiti bekalan air serta menambah baik tekanan air ke kawasan di sepanjang Jalan Batang Suai, Jalan Pesisir Miri-Bintulu, Jalan Miri-Bintulu, Jalan Kampung Lajong, Jalan Ladang Tiga, Tadika KEMAS Rumah Robert, SK Batu Telingai, Suai, Klinik Desa Suai, kawasan Rumah Robert serta kawasan Kompleks Suai.

Sehubungana itu, sekiranya terdapat masalah gangguan bekalan air, kementerian memohon orang awam untuk terus menghubungi dan membuat laporan segera kepada pihak JBALB di pejabat Bahagian Miri menerusi talian 085-442204.

Advertisement