Anda di sini

Mogok seluruh negara jejas pengangkutan awam Brazil

Advertisement
 Orang ramai menyertai mogok umum untuk membantah pelan pencen kerajaan dan pemotongan kepada perbelanjaan persekutuan bagi pengajian tinggi yang dirancang oleh kerajaan haluan kanan pimpinan Bolsonaro di Sao Paulo, Brazil kelmarin. — Gambar Reuters
TIDAK PUAS HATI: Orang ramai menyertai mogok umum untuk membantah pelan pencen kerajaan dan pemotongan kepada perbelanjaan persekutuan bagi pengajian tinggi yang dirancang oleh kerajaan haluan kanan pimpinan Bolsonaro di Sao Paulo, Brazil kelmarin. — Gambar Reuters

SAO PAULO: Mogok di seluruh negara mengganggu pengangkutan awam di Brazil kelmarin apabila tunjuk perasaan diadakan di seluruh negara untuk membantah reformasi pencen oleh Presiden Jair Bolsonaro, beberapa jam sebelum perlawanan pembukaan Copa America berlangsung.

Demonstrasi terbaharu menentang Bolsonaro sejak beliau memegang kuasa pada Januari lalu diadakan ketika Brazil bersiap sedia untuk bermain menentang Bolivia dalam kejohanan bola sepak utama Amerika Selatan.

Beberapa laluan metro di Sao Paulo lumpuh sebelum perlawanan di stadium Morumbi di bandar raya itu di mana penembak tepat polis akan dikerahkan sebagai sebahagian daripada kawalan keselamatan yang telah dipertingkatkan bagi kejohanan tersebut.

Salah sebuah kesatuan sekerja utama di Brazil menganggarkan 45 juta pekerja menyertai mogok.

Lebih 100 bandar terjejas disebabkan oleh mogok itu, dengan lebih 180 yang merekodkan demonstrasi, laman berita G1 melaporkan.

Jumlah penunjuk perasaan dijangka semakin meningkat, dengan demonstrasi yang dirancangkan di bandar raya utama di Brazil pada lewat petang.

Profesor dan pelajar universiti juga dijangka kembali memenuhi jalanan untuk membantah cadangan kerajaan memotong pembiayaan pendidikan.

Penunjuk perasaan terdahulu menyekat beberapa jalan di beberapa bandar raya, termasuk Rio de Janeiro dan Sao Paulo, di mana polis menggunakan gas pemedih mata untuk meleraikan penunjuk perasaan dan mengosongkan jalan raya, G1 melaporkan.

Rakyat Brazil berbelah-bahagi mengenai mogok yang berlaku.

“Kerajaan sekarang mahu memusnahkan segalanya yang kita telah bina beberapa dekad yang lalu, jadi itu adalah sebabnya kenapa saya menyokong mogok dan saya berjuang untuk menentang ketidaksamarataan sosial,” kata Vania Santos, 49, kepada AFP di Rio.

Bagaimanapun di Sao Paulo, Flavio Moreira menentang mogok, dengan menyatakan ia “menjejaskan bahagian komersil” di bandar raya itu.

Cadangan Bolsonaro untuk merombak sistem pencen di Brazil yang menurutnya akan memufliskan negara jika rancangannya tidak diluluskan dilihat sebagai kunci kepada usaha untuk melaksanakan beberapa reformasi ekonomi menerusi Kongres.

Namun perubahan itu, termasuk pengenalan usia persaraan, ditentang oleh kesatuan sekerja dan dalam Dewan Rakyat di Kongres, di mana Parti Liberal Sosial yang ultra-konservatif pimpinan Bolsonaro mempunyai hanya sekitar 10 peratus kerusi.

Draf pembaharuan yang dipinda dan dikemukakan kepada Kongres pada Khamis lepas yang mengurangkan penjimatan yang dijangkakan daripada 1.2 trilion reais (RM1.2 trilion) dalam masa 10 tahun kepada kira-kira 900 bilion reais tidak dapat diterima oleh ketua kesatuan.

Penjimatan sedemikian dilihat sebagai amat penting untuk memperbaiki ekonomi dan kewangan Brazil, yang dimusnahkan oleh krisis pada 2015-2016.

Menteri Ekonomi Paulo Guedes, yang menerajui agenda reformasi kerajaan, mengugut untuk meletak jawatan jika rang undang-undang itu tidak diluluskan atau dipinda dengan signifikan.

“Bola berada dalam dewan undangan,” kata Bolsonaro kepada pemberita kelmarin.

Namun Guedes mengkritik pindaan terbaharu kepada rang undang-undang itu, dan berkata penggubal undang-undang telah menunjukkan “komitmen tidak ada kepada generasi akan datang”.

“Komitmen kepada penjawat awam dalam dewan undangan nampak lebih tinggi,” beliau dipetik oleh G1 sebagai berkata.

Bolsonaro memecat menteri ketiganya pada Khamis, Jeneral (Bersara) Carlos Alberto dos Santos Cruz, yang selama ini adalah setiausaha kerajaan dan dilihat sebagai suara sederhana.

Ia berlaku pada hari yang sama Bolsonaro membela Menteri Keadilan Sergio Moro, yang dituduh melakukan kesalahan ketika beliau berkhidmat sebagai hakim dalam siasatan antirasuah ‘Car Wash’ yang besar dan meluas. — AFP

Advertisement