Anda di sini

Manfaatkan kawasan lapang sebagai tempat rekreasi penduduk

Advertisement
 Lee (lapan kanan) bersama ahli-ahli PBSM Miri pada pelancaran Projek Penanaman Pokok di Permyjaya semalam.
UNTUK UDARA SEGAR: Lee (lapan kanan) bersama ahli-ahli PBSM Miri pada pelancaran Projek Penanaman Pokok di Permyjaya semalam.

MIRI: Kerajaan tempatan perlu menyediakan landskap di kawasan lapang yang boleh dijadikan kawasan rekreasi dan aktiviti sukan penduduk.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin berkata, Majlis Bandaraya Miri (MBM) perlu menjadikan kawasan lapang yang hijau sebagai tempat rekreasi keluarga.

“Kita tidak mahu kawasan lapang di kawasan perumahan terbiar dan dipenuhi lalang, sebab itu ia perlu dijadikan landskap hijau atau taman rekreasi untuk penduduk,” ujarnya pada pelancaran Projek Penanaman Pokok oleh Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) Sarawak di Permyjaya di sini, semalam.

Lee berkata, banyak kawasan perumahan di Permyjaya mempunyai kawasan lapang tetapi tidak diurus dengan baik serta dipenuhi lalang.

“Sebaiknya kawasan lapang ini ditanam pokok-pokok bagi menghijau kawasan perumahan pada masa sama dijadikan kawasan bersenam atau joging,” jelasnya.

Menurut ADUN Senadin itu, konsep 5R iaitu menolak, mengurangkan, mengguna semula, mengitar semula dan kegunaan tujuan tertentu itu perlu menjadi amalan penduduk Miri.

“Konsep 5R akan menjadikan bandar raya Miri bersih, membekalkan udara segar dan hijau. Lebih 1,000 anak pokok telah ditanam di sekitar kawasan perumahan Permyjaya untuk mencantikkan lanskap,” jelasnya.

Lee berkata, pelancaran projek itu diharap dapat meningkat kesedaran orang ramai khususnya generasi muda tentang pentingnya menanam pokok dan fungsi pokok terhadap alam sekitar.

“Penanaman pokok ini bukan sekadar mewujudkan persekitaran lebih berkualiti kepada komuniti sekitarnya, malah ia berfungsi sebagai paru-paru Miri untuk meningkatkan kualiti udara,” katanya.

Pada masa sama ujarnya, penanaman pokok amat penting untuk meningkatkan pengeluaran gas oksigen sekali gus mengurang pemanasan global.

Advertisement