Anda di sini

Majlis Rumah Terbuka Gawai Raya BDA meriah, penuh ceria

Advertisement
 Rodziah(tengah) merakam kenangan bersama rombongan daripada Gabungan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA), Bintulu.
UNTUK ALBUM: Rodziah(tengah) merakam kenangan bersama rombongan daripada Gabungan Persatuan Cina Berdaftar (FORCA), Bintulu.

BINTULU: Majlis Rumah Terbuka Gawai Raya Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) 2019 disambut meriah dan penuh ceria di Kediaman Rasmi Pengurus Besar BDA di Jalan Pangeran Mathair, Tanjung Kidurong semalam.

Majlis yang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 2 petang itu dikunjungi oleh masyarakat pelbagai kaum di bahagian ini termasuk syarikat-syarikat korporat, jabatan dan agensi kerajaan, persatuan-persatuan, pertubuhan-pertubuhan, ketua-ketua masyarakat dan kenamaan.

Mengalu-alukan kehadiran tetamu yang berkunjung itu ialah Timbalan Pengerusi BDA Haidir Khan Asghar Khan, Pengurus Besar BDA Rodziah Morshidi, Timbalan Pengurus Besar BDA Abdullah Mohd Sheriff, Penolong Pengurus Besar (Khidmat Teknikal) Abdul Rahim Abdullah, pengurusan kanan dan kakitangan BDA yang lain.

Majlis itu diadakan untuk memeriah sambutan perayaan Hari Gawai Dayak dan Hari Raya Aidilfitri sekali gus mengukuhkan hubungan antara BDA dan masyarakat serta pelbagai pihak sama ada persatuan, pertubuhan, syarikat-syarikat korporat, jabatan dan agensi kerajaan.

Selain disajikan hidangan pelbagai juadah, tetamu turut dihiburkan dengan persembahan hiburan pentas pada majlis tersebut.

Advertisement