Anda di sini

Kewujudan Pekan Sabtu Oya harus dipertahan: Fatimah

Advertisement
 Fatimah (tengah) ketika menerima cenderahati daripada Arini (tiga kanan) sambil disaksikan oleh yang lain.
TERIMALAH: Fatimah (tengah) ketika menerima cenderahati daripada Arini (tiga kanan) sambil disaksikan oleh yang lain.

MUKAH: Kewujudan Pekan Sabtu Oya selama 14 tahun harus terus dipertahankan dan ditambah baik.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kanak-Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, konsep asal pekan itu diwujudkan adalah untuk memperbaiki kedudukan ekonomi golongan nelayan.

“Kita harus faham dan tahu mengapa Pekan Sabtu Oya ini pada mulanya diwujudkan, iaitu untuk membantu mempertingkatkan ekonomi para golongan nelayan,” ujarnya pada Majlis Ramah-Tamah Aidilfitri Pekan Sabtu Oya, semalam.

Fatimah berkata, ia diwujudkan kerana mahu membantu para nelayan menjual hasil penat lelah dan jerih payah mereka tanpa penglibatan orang tengah.

Menurut beliau, penjualan hasil ikan yang murah kepada pemborong serta peraih ikan lain berlaku sebelumnya dan mungkin masih berlaku pada masa ini.

“Ini dapat dielakkan jika para nelayan dapat menjual ikan dengan harga berpatutan.

“Secara tidak langsung, ia akan membantu mempertingkatkan ekonomi para nelayan dan tidak memberikan untung lebih kepada mereka yang mempunyai wang untuk membeli ikan secara pukal,” jelasnya.

Pekan itu juga beransur-ansur diperkembangkan ketika penjaja barangan lain turut mula menjual hasil hutan dan hasil tani lain, katanya.

Kini, Pekan Sabtu Oya mampu menjana ekonomi penduduk setempat dan turut memerlukan beberapa pembaharuan.

Antaranya adalah kewujudan pentas yang harus diisikan dengan program secara bulanan.

Kawasan parkir juga katanya, memerlukan perluasan kerana terhad sehingga ke Bulatan Oya ketika hari Sabtu.

Bagaimanapun, Pekan Sabtu Oya telah dinaik taraf dengan geran peruntukan RM75,000 baru-baru ini daripada Fatimah, antaranya untuk pembaikan meja menjual ikan dan bumbung untuk teduhan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Penjaja Pekan Sabtu Oya Arini Suhaili, Pegawai Daerah Dalat Kueh Lei Poh dan Ketua Masyarakat Mukah Temenggung Hendi Suhai.

Advertisement