Anda di sini

Kempen usaha galak masyarakat menderma darah, periksa kesihatan

Advertisement
 Lee serta yang lain merakam kenangan bersama Jong (duduk, kiri), yang merupakan antara penderma berjaya pada kempen derma darah NSJA serta Pelancaran Pemeriksaan Kesihatan NSJA 2019, bertempat di Bintang Megamall Miri, semalam.
TERBAIK: Lee serta yang lain merakam kenangan bersama Jong (duduk, kiri), yang merupakan antara penderma berjaya pada kempen derma darah NSJA serta Pelancaran Pemeriksaan Kesihatan NSJA 2019, bertempat di Bintang Megamall Miri, semalam.

MIRI: Kempen derma darah dilihat sebagai satu usaha menggalakkan masyarakat menderma dan menjalani pemeriksaan kesihatan, jelas Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Lee Kim Shin.

Katanya, aktiviti berkenaan bukanlah sesuatu yang berbahaya memandangkan ia dilakukan mengikut prosedur dan pemeriksaan terdahulu oleh pegawai kesihatan.

“Kalau dahulu, khususnya pada zaman saya terdapat masyarakat kita yang menganggap menderma darah ini akan menjejaskan kesihatan. Malah, kalau ada pesakit yang memerlukan darah, mereka terpaksa membeli.

“Namun, selepas kempen derma darah sebegini diusahakan pada sekitar tahun 1979, masyarakat lebih memahami peranan mereka sebagai penderma secara sukarelawan dan bilangan keperluan darah juga mencukupi,’ ujarnya.

Justeru jelas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu, berikutan usaha terbabit, kempen derma darah mendapat sambutan yang memberangsangkan saban tahun.

“Bukan sahaja setiap tahun, malah setiap bulan menunjukkan peningkatan bilangan penderma. Ini adalah usaha dan petanda yang baik.

“Bagaimanapun, usaha mempromosikan kempen sebegini perlu terus dilaksanakan agar lebih ramai masyarakat kita memahami peranan mereka dalam membantu menyumbangkan sesuatu kepada mereka yang memerlukan,” ujarnya.

Lee berkata demikian pada majlis Kempen Derma Darah Persatuan Wartawan Sarawak Utara (NSJA) serta Pelancaran Pemeriksaan Kesihatan NSJA 2019 di Bintang Megamall Miri di sini, semalam.

Ujar Lee, keperluan darah terbabit bukan hanya untuk menambah bekalan darah yang diperlukan, tetapi dalam usaha membantu menyelamatkan nyawa seseorang.

Dalam pada itu, beliau turut memuji usaha NSJA dalam penganjuran kempen sedemikian untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah.

“Ini adalah inisiatif yang baik dan perlu dicontohi. Para wartawan bukan sahaja menulis berita mengenai penganjuran dan kebaikan kempen tersebut, tetapi turut tampil bersama menyokong dan menganjurkan aktiviti sama bagi kesejahteraan serta manfaat masyarakat setempat,” katanya.

Selain itu ujar Lee, NSJA turut memberi perhatian terhadap kebajikan ahlinya dan memastikan setiap ahlinya turut mengadakan pemeriksaan kesihatan dengan menyediakan subsidi bagi memudahkan urusan.

Sebagai galakan untuk memastikan ahlinya mengadakan pemeriksaan kesihatan terbabit, Lee turut memperuntukan RM10,000 untuk NSJA.

Sementara itu, melalui kempen menderma darah tersebut, seramai 92 orang telah mendaftar dengan 70 berjaya menjadi penderma.

Kempen berkenaan mendapat sambutan yang menggalakkan bukan sahaja daripada ahlinya sendiri, malah para pengunjung Bintang Megamall.

Acara terbabit turut mendapat kerjasama daripada Tabung Darah Hospital Miri, Shun Shen Lee Trading Sdn Bhd, Ayam Brand, Vico, Indocafe, Bintang Mega Mall dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri.

Hadir sama ialah Ketua JBPM Zon 6, Penguasa Kanan Bomba I Law Poh Kiong, Pengarah Hospital Miri Dr Jack Wong, Pengerusi Jawatankuasa Merekrut Penderma Darah Bulan Sabit Merah Miri Kaunselor Karambir Singh, Pengurus Acara Bintang Megamall Miri Allen Wong, Pengurus Shun Shen Lee Trading Sdn Bhd Cawangan Miri Jimmy Yii, Presiden NSJA Andy Jong, Pengerusi Penganjur Lee Cheng Choi serta tetamu kehormat yang lain.

Advertisement